DBS catat pertumbuhan kukuh dalam niaga perbankan privet; dipacu pejabat keluarga
Unit perbankan privet DBS Group menyaksikan kegiatan perniagaannya bangkit semula ke paras sebelum berlaku pandemik COVID-19.
Gambar fail. (Gambar: Reuters)
SINGAPURA: Unit perbankan privet DBS Group menyaksikan kegiatan perniagaannya bangkit semula ke paras sebelum berlaku pandemik COVID-19.
Ia kini merancang untuk mengembangkan aset-aset yang diuruskannya antara tujuh hingga lapan peratus pada tahun depan, sedang ia berusaha untuk memperolehi bahagian pasaran yang lebih besar bagi pasaran kemewahan yang berkembang paling pantas di dunia, menurut salah seorang eksekutif kanan bank tersebut,
Pemiutang terbesar di Asia Tenggara itu sedang meraih manfaat daripada trend pejabat keluarga global yang semakin berminat untuk membuka cawangan di Singapura bagi mengambil kesempatan daripada peluang pelaburan di Asia dan pejabat-pejabat sedemikian tertarik dengan insentif-insentif yang ditawarkan oleh negara ini, menurut ketua Perbankan Privet DBS Joseph Poon.
Menurut beliau, pejabat keluarga yang besar dari Eropah dan Amerika Syarikat semakin berminat untuk mengembangkan perniagaan masing-masing di Asia.
"Mereka melihat Singapura sebagai peneraju di rantau ini," menurut Encik Poon, yang menyertai DBS dari UBS pada 2016 dan juga pernah berkhidmat di Julius Baer dan Perbankan Privet JPMorgan.
Menurut Encik Poon, para pelanggan menunjukkan minat untuk melabur dalam syarikat-syarikat teknologi dan dana amanah pelaburan hartanah.
DBS mencatatkan pertumbuhan yang kukuh di Thailand di mana sebahagian besar harta disimpan dalam perniagaan milik keluarga, yang kini berkembang ke luar negara. Menerusi kerjasamanya, Perbankan Privet DBS turut menawarkan produk pengurusan harta luar negara kepada para pelanggan Thai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.