Skip to main content

Kewangan

Credit Suisse akan potong 9,000 pekerjaan, termasuk di SG jelang 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Credit Suisse akan potong 9,000 pekerjaan, termasuk di SG jelang 2025

Gambar: AFP

Diterbitkan : 27 Oct 2022 11:40PM
GENEVA: Credit Suisse mengumumkan beberapa perubahan besar pada Khamis (27 Okt) untuk menstabilkan bank tersebut susulan kerugian besar yang dicatatkan pada suku ketiga.

Ini termasuk merombak unit perbankan pelaburan bank itu, mengurangkan 9,000 pekerjaan dan menandapatkan modal baru.

Bank kedua terbesar Switzerland itu melancarkan semakan strategik yang bertujuan untuk menamatkan siri skandal yang menjejas institusi berkenaan,

Credit Suisse menyatakan pelan baru itu akan mewujudkan "bank yang lebih mudah, fokus dan stabil".

"Selama lebih 166 tahun, Credit Suisse sudah membangunkan francais yang kuat dan dihormati. Namun kami sedar dalam tahun-tahun kebelakangan ini kami hilang tumpuan," kata pengerusi bank itu, Axel Lehmann dalam satu kenyataan.

Beliau berkata penilaian semula hala tuju bank itu termasuk "strategi dan pelaksanaan yang jelas untuk membangunkan bank yang lebih kukuh, mempunyai daya bingkas, lebih cekap dengan asas yang kukuh, memberi tumpuan pada pelanggan dan keperluan mereka".

Bank yang berpangkalan di Zurich itu mendedahkan bahawa bank pelaburannya bakal menjalani "penyusunan semula yang besar".

Ia dalam usaha untuk memotong kos dengan lebih pantas dan memperkukuhkan serta memperuntukkan semula modal "semuanya untuk mewujudkan Credit Suisse baru".

Bank tersebut merancang untuk mengumpul modal sebanyak empat bilion franc Swiss (S$5.6 bilion)
melalui tawaran saham baru kepada pelabur yang layak.

Ia termasuk Bank Negara Saudi yang komited untuk melabur sehingga 1.5 bilion franc Swiss (S$2.1 bilion) untuk mendapat pegangan saham sehingga 9.9 peratus.

Pengumuman tersebut dibuat ketika Credit Suisse mendedahkan kerugian bersih suku ketiga sebanyak 4.034 bilion franc Swiss (S$5.7 bilion).
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita