COVID-19: Usaha sama kereta tanpa pemandu Hyundai, Aptiv masih mengambil pekerja di S'pura
Sebuah usaha sama oleh pengeluar kenderaan Korea Selatan Hyundai dan syarikat teknologi kenderaan tanpa pemandu Aptiv masih terus mengambil pekerja di tengah-tengah kemelesetan ekonomi akibat COVID-19. Ia berharap untuk menambah sekurang-kurang 30 pekerja menjelang hujung tahun ini.
(Gambar: Motional)
SINGAPURA: Sebuah usaha sama oleh pengeluar kenderaan Korea Selatan Hyundai dan syarikat teknologi kenderaan tanpa pemandu Aptiv masih terus mengambil pekerja di tengah-tengah kemelesetan ekonomi akibat COVID-19. Ia berharap untuk menambah sekurang-kurang 30 pekerja menjelang hujung tahun ini.
Pada Selasa (11 Ogos), Hyundai dan Aptiv mengumumkan usaha sama mereka yang bernilai AS$4 bilion (S$5.5 bilion), yang pertama kali diumumkan pada September tahun lalu dan dimuktamadkan pada Mac - akan diberi nama Motional.
Bercakap kepada media melalui persidangan video pada Rabu (12 Ogos), ketua pegawai eksekutif Motional Karl Iagnemma berkata syarikat itu - yang mempunyai pejabat di Singapura dan Seoul, selain empat di Amerika Syarikat - merancang untuk menambah jumlah kakitangannya di seluruh dunia sebanyak 45 peratus tahun ini kepada lebih 1,000 orang.
Di Singapura, ia telah menggajikan lebih 25 pekerja sepenuh masa sejak usaha sama itu ditubuhkan pada Mac dan ia merancang menambah lagi lebih 30 pekerjaan menjelang hujung tahun ini.
Laman rangkaian LinkedIn menunjukkan syarikat itu - dirujuk sebagai "Hyundai-Aptiv Autonomous Driving Joint Venture" - sedang menawarkan 13 pekerjaan, termasuk bagi saintis kajian dan jurutera sistem.
Singapura merupakan "tempat terbaik" untuk mendapatkan pekerja dari sudut pandangan kajian dan pembangunan, kata Encik Iagnemma, sambil menarik perhatian pada sokongan pemerintah yang kukuh bagi pembangunan teknologi tanpa pemandu.
"COVID menjejas setiap negara di merata dunia, saya faham ia mempunyai kesan terhadap Singapura. Sekarang ini masa yang sukar bagi Singapura. Harapan saya ialah keupayaan dan keinginan kami untuk menggajikan pekerja di negara ini sebagai cara kami dapat menyumbang kepada pemulihan Singapura," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.