Skip to main content

Kewangan

COVID-19: Pakar ekonomi jangka pemberhentian kerja di S'pura cecah 45,600 hingga 65,000

Pakar ekonomi berkata kehilangan pekerjaan yang besar mungkin berlaku dalam bulan-bulan mendatang sedang tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 menjejas teruk perniagaan, namun bantuan pemerintah dapat mengurangkan jumlah itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Pakar ekonomi jangka pemberhentian kerja di S'pura cecah 45,600 hingga 65,000

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 28 Apr 2020 10:42AM Dikemas Kini : 28 Apr 2020 10:45AM

SINGAPURA: Pakar ekonomi berkata kehilangan pekerjaan yang besar mungkin berlaku dalam bulan-bulan mendatang sedang tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 menjejas teruk perniagaan, namun bantuan pemerintah dapat mengurangkan jumlah itu. Mereka menjangkakan antara 45,600 dengan 65,000 pemberhentian pekerjaan akan berlaku tahun ini.

Dalam satu laporan yang diterbitkan pada Isnin (27 Apr), pakar ekonomi DBS Bank Irvin Seah berkata jika anggarannya bahawa 45,600 kehilangan pekerjaan terbukti betul, tahap pemberhentian kerja dalam kemelesetan ekonomi akan datang, akan "jauh lebih tinggi" berbanding mana-mana kemerosotan ekonomi yang pernah dialami Singapura sebelum ini.

Para pakar ekonomi yang diwawancara oleh Mediacorp umumnya akur dengan ramalan Encik Seah mengenai pasaran buruh dengan unjuran bahawa keseluruhan pengangguran - pada kadar 2.3 peratus pada hujung 2019 - akan berada dalam julat antara 3.5 peratus dengan 4 peratus menjelang hujung tahun ini.

Ramalan bagi kehilangan pekerjaan dibuat selepas para pakar ekonomi pada minggu lalu menurunkan ramalan ekonomi mereka bagi 2020 dan menggambarkan bahawa Singapura mungkin mencatat kemelesetan ekonominya yang terburuk, dengan anggaran bahawa ekonomi mungkin menyusut sebanyak 4 peratus, 6 peratus atau bahkan 10 peratus.

Dalam laporannya pada Isnin, Encik Seah menganggarkan 24,800 penduduk Singapura mungkin kehilangan pekerjaan mereka. Ini meskipun tanpa langkah-langkah pemerintah seperti Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) yang dipertingkat, "keadaan ekonomi mungkin lebih teruk lagi". JSS menawarkan subsidi gaji kepada majikan.

Sungguhpun demikian, beliau menambah oleh kerana penduduk membentuk 62 peratus tenaga kerja, kadar nisbah kehilangan pekerjaan yang diunjurkan dalam kalangan pekerja tempatan secara keseluruhannya akan lebih rendah berbanding pekerja asing.

Encik Seah percaya kadar pengangguran penduduk akan naik daripada 3.2 peratus pada hujung 2019 kepada 4.2 peratus menjelang hujung tahun ini, dengan kadar pengangguran keseluruhan menginjak kepada 3.6 peratus.

"Sekalipun Singapura berjaya menurunkan bilangan kes COVID-19 tempatan, penyambungan semula kegiatan ekonomi seperti sedia kala akan mengambil masa yang lama lagi."

Encik Seah juga menambah dasar-dasar pemerintah akan tetap "mendukung dan ada masanya, berani" untuk mengatasi kejatuhan ekonomi akibat pandemik itu. Beliau menarik perhatian Pemerintah sudahpun memperuntukkan perbelanjaan S$68.8 bilion untuk meredakan krisis itu. Ini membentuk hampir 14 peratus saiz tahunan ekonomi.

Pakar ekonomi Perbankan Privet CIMB Song Seng Wun berkata walaupun Pemerintah sudah melanjutkan skim-skim seperti JSS, perniagaan perseorangan mungkin masih menghadapi kesukaran mengekalkan pekerja.

Pakar ekonomi United Overseas Bank Barnabas Gan menganggarkan bahawa kadar pengangguran secara keseluruhan boleh meningkat kepada 3.5 peratus pada akhir tahun sambil menambah bahawa prestasi rakan perdagangan utama Singapura, gangguan terhadap perdagangan global dan permintaan yang teruk di negara maju akan terus memeritkan pasaran buruh.

Cik Selena Ling, ketua penyelidikan dan strategi perbendaharaan di bank OCBC, menganggarkan bahawa kadar pengangguran boleh meningkat kepada 4 peratus tahun ini.

Beliau mengatakan pemberhentian yang berkaitan dengan langkah pemutus rantaian jangkitan boleh berjumlah sekitar 65,000 walaupun dalam senario terburuk, jumlahnya mungkin 100,000.

Beliau menambah pekerjaan dalam khidmat tidak penting serta sektor pembinaan akan menjadi yang paling terkesan.

Dalam laporan itu, Encik Seah juga menurunkan ramalan ekonomi bagi keseluruhan tahun kepada penguncupan sebanyak 5.7 peratus daripada penurunan 2.8 peratus sebelumnya, dengan potensi bahawa ekonomi mungkin menyusut sebanyak 7.8 peratus.

Menarik perhatian bahawa prospek sejagat juga berubah menjadi "suram", Encik Seah mengatakan bahawa ada risiko penurunan ekonomi kerana sektor perkhidmatan utama - misalnya meliputi perkhidmatan runcit, pelancongan, perhotelan dan khidmat kewangan - boleh menguncup lebih banyak lagi.

Dalam laporannya, Encik Seah berkata "pelaksanaan pemutus jangkitan pada awal April dan pelanjutannya sehingga 1 Jun, walaupun diperlukan untuk membendung wabak, akan membawa kegagalan kepada banyak industri berorientasi tempatan". Beliau menyebut khidmat-khidmat pembinaan, runcit, makanan dan minuman serta perniagaan sebagai contoh. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita