Skip to main content

Kewangan

COVID-19: Lebih 6,000 kakitangan SIA Group ambil cuti tanpa gaji sejak skim diperkenalkan pada Mac

Lebih 6,000 kakitangan kumpulan syarikat Singapore Airlines (SIA) mengambil cuti tanpa gaji di tengah-tengah keadaan sektor penerbangan yang runtuh akibat COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Aug 2020 11:04PM Dikemas Kini : 11 Aug 2020 08:48PM

SINGAPURA: Lebih 6,000 kakitangan kumpulan syarikat Singapore Airlines (SIA) mengambil cuti tanpa gaji di tengah-tengah keadaan sektor penerbangan yang runtuh akibat COVID-19.

Jumlah itu membentuk lebih 20 peratus daripada 27,000 kakitangan di bawah SIA Group, yang merangkumi SIA, SilkAir dan syarikat penerbangan tambang murah Scoot.

Semua kakitangan tersebut termasuk juruterbang dan anak kapal mengambil cuti tanpa gaji bermula dengan paling sedikit selama tujuh hari - sejak skim itu pertama kali ditawarkan pada Mac tahun ini, kata seorang jurucakap SIA pada Isnin (10 Ogos) sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

Semasa cuti tanpa gaji, sebilangan kakitangan dibenarkan melakukan kerja lain.

"Kakitangan SIA Group mengambil cuti tanpa gaji dibenarkan mencari pekerjaan sementara di luar syarikat, dengan syarat mereka bukan pemegang pas kerja," kata jurucakap itu.

Di samping itu, lebih 1,700 kakitangan SIA Group telah berdaftar untuk jawatan relawan jangka pendek dan penempatan pekerjaan sementara di luar syarikat, termasuk peranan dan jawatan duta di stesen pengangkutan awam, pejabat perkhidmatan sosial dan hospital.

"Program duta SIA dan portal sokongan pekerja tetap menjadi sumber utama langkah sokongan bagi kakitangan SIA dan SilkAir yang mencari pekerjaan sementara," kata jurucakap itu.

KAPASITI DIKURANGKAN DEK "SEKTOR PENERBANGAN RUNTUH"

SIA menyatakan pihaknya telah mengurangkan kapasiti dalam semua rangkaiannya sejak Mac bagi mengharungi keadaan sektor penerbangan yang runtuh akibat COVID-19.

Kumpulan itu juga bekerjasama dengan rakan kongsi untuk mengurangkan kos dan menjadualkan semula pembayaran, termasuk bagi pesawat yang membentuk "sebahagian besar" perbelanjaan modal.

Bulan lalu, SIA mengumumkan gaji bagi kakitangan pengurusan dipotong lagi manakala gaji pekerja lain dikurangkan sebanyak 10 peratus.

Pengumuman itu dibuat sedang SIA mencatat kerugian bersih S$1.12 bilion pada suku pertama, setelah mengurangkan kapasiti secara drastik akibat sekatan perjalanan di tengah pandemik COVID-19.

"Gaji pekerja jawatan pengurus dan ke atas dipotong antara 12 hingga 35 peratus, dengan ketua eksekutif menerima potongan terbesar 35 peratus," jelas jurucakap SIA pada Isnin.

Lembaga Pengarah SIA juga mengambil potongan 30 peratus yuran mereka "sebagai tanda perpaduan dengan anggota kakitangan".

Menjelang akhir tahun kewangan ini, SIA menjangkakan kapasiti penumpang kumpulan syarikatnya mungkin mencapai kurang daripada separuh tahap sebelum COVID-19. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita