Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

COVID-19: Ada pekerja masih disuruh ke pejabat walaupun kerja dari rumah pilihan utama

Beberapa pekerja berkata mereka disuruh datang ke pejabat, meskipun ia bertentangan dengan nasihat Pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Ada pekerja masih disuruh ke pejabat walaupun kerja dari rumah pilihan utama
Diterbitkan : 22 May 2021 12:26PM Dikemas Kini : 22 May 2021 12:30PM

SINGAPURA: Kesemua tugasnya di agensi reka bentuk web boleh dilakukan dari rumah, tetapi penyelianya masih mengarahkan para pekerja untuk berada di pejabat. Ketika di pejabat, majikannya sering dilihat tidak memakai pelitup.

Sedang Singapura meningkatkan tahap waspada di tengah-tengah kes COVID-19 yang semakin bertambah dalam masyarakat, para pekerja juga berasa lebih bimbang dan seperti berada di bawah belas ihsan penyelia mereka ketika kesihatan mereka kelihatan tidak diendahkan.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan dalam satu garis panduan pada 14 Mei bahawa majikan "mesti memastikan semua kakitangan yang boleh bekerja dari rumah, melakukan sedemikian". Ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah pengurusan jangkitan baru-baru ini untuk membendung penularan dalam masyarakat.

Rachel (bukan nama sebenar) berusia dalam 30-an tahun memberitahu Mediacorp bahawa beliau begitu kecewa dan kesal, sehingga beliau meletakkan jawatan demi melindungi dirinya sendiri.

Beliau menceritakan bahawa di pejabatnya, mereka dibahagi kepada dua pasukan yang bergilir bekerja di pejabat, tetapi beliau percaya bahawa beliau masih boleh terdedah kepada koronavirus kerana tiada pekerja pembersihan yang ditugaskan untuk membasmi kuman di pejabat antara tempoh syif-syif mereka.

Rachel ialah antara segelintir pekerja yang diwawancara Mediacorp yang disuruh majikan mereka untuk bekerja di pejabat, meskipun ia bertentangan dengan arahan Pemerintah

Sebilangan pekerja ini berkata mereka tidak menyediakan perkhidmatan penting atau pekerjaan mereka boleh dilakukan dari rumah.

Ada juga yang berpendapat bahawa pengurusan mereka tidak memberikan alasan yang cukup baik untuk menyuruh mereka bekerja di pejabat. Mereka yakin bahawa penyelia mereka hanya ingin melihat kakitangan mereka secara fizikal berada di pejabat.

Mereka bercakap dengan Mediacorp dengan syarat nama mereka tidak didedahkan kerana bimbang mereka akan kehilangan pekerjaan. Beberapa butiran juga sengaja disamar-samarkan untuk mengelakkan mereka dikenal pasti.

Sejak Ahad (16 Mei), peraturan yang lebih ketat dilaksanakan untuk menghadkan jumlah orang yang berkumpul di tempat awam, di acara dan di rumah, dan orang ramai tidak diizinkan untuk makan di kedai.

Peraturan itu berkuat kuasa hingga 13 Jun tetapi pasukan bertindak Pemerintah bagi COVID-19 akan menilai keadaan dalam masa sekitar seminggu atau lebih untuk melihat sama ada langkah kawalan jangkitan itu berkesan.

TIADA ALASAN BAIK DIBERIKAN

Mary (bukan nama sebenar), yang melakukan kerja pentadbiran sambilan di sebuah firma perkhidmatan profesional tiga hari seminggu, berkata bahawa majikannya menyuruh beliau untuk datang ke pejabat pada ketiga-tiga hari.

Apabila Mary, 51, yang juga bekerja sebagai pemandu kenderaan privet, bertanya kepada majikannya mengapa beliau perlu terus bekerja dari pejabat, beliau diberitahu bahawa ia adalah kerana beliau seorang pekerja sambilan.

"Mengapa (sesetengah orang) mesti masuk ke pejabat setiap hari? Semasa pemutus rantaian jangkitan tahun lalu, kami boleh menjawab telefon setiap hari dari rumah. Semua panggilan dihalakan ke nombor telefon itu. Mengapa kami tidak boleh melakukannya sekarang?" soal beliau.

Encik Ng, yang bekerja di sebuah syarikat berdekatan Hospital Tan Tock Seng, turut menyuarakan sentimen yang sama.

Beliau bekerja dari rumah pada dua minggu pertama Mei atas arahan majikannya kerana syarikat itu terletak berhampiran hospital, yang merupakan lokasi kelompok COVID-19 terbesar Singapura pada awal bulan ini.

Apabila jangkitan dalam masyarakat terus meningkat dan Pemerintah mengumumkan pada 14 Mei bahawa ia akan mengetatkan sekatan pergerakan dan perhimpunan, beliau menganggap syarikatnya akan melanjutkan aturan kerja dari rumah.

Sebaliknya, majikannya menghantar emel yang menyuruh anggota kakitangan operasi untuk kembali bekerja kerana mereka harus bersiap sedia untuk projek besar yang akan datang.

Beliau berkata bahawa projek besar yang sama yang dilakukan syarikatnya tahun lalu boleh dilakukan dengan semua orang bekerja dari rumah semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan.

Kini tinggal bersama ibu bapanya yang lanjut usia, Encik Ng berkata bahawa beliau cuba untuk elak daripada bergaul dengan mereka seberapa mungkin setelah balik dari tempat kerja.

MAJIKAN TIADA KEPERCAYAAN

Mary memberitahu Mediacorp bahawa beliau merancang untuk melaporkan syarikatnya kepada MOM.

Rachel yang telah meletak jawatan berkata bahawa beliau sudah membuat laporan. Beliau tidak percaya alasan yang diberikan oleh firma reka bentuk webnya, yang mengatakan bahawa ia membekalkan perkhidmatan penting kerana permintaan untuk pendigitalan meningkat semasa pandemik ini.

Namun, beliau percaya bahawa masalah pokok adalah ketidakpercayaan majikannya terhadap pekerja mereka.

"Para majikan, mereka tidak boleh terima hakikat yang mereka tidak boleh melihat orang di pejabat melakukan kerja. Mereka tidak boleh percaya bahawa 'semasa anda berada di rumah, saya percaya anda akan menyelesaikan projek'," ujarnya.

Masalah ini nampaknya tidak hanya berlaku di syarikat kecil dan sederhana tempat Rachel bekerja, tetapi juga di bank-bank besar.

Wayne (bukan nama sebenarnya), yang merupakan sebahagian daripada pasukan yang mengendalikan operasi balik tabir sebuah bank, berkata bahawa aturan sedia ada untuk mempunyai sekitar 30 peratus tenaga kerja syarikatnya di pejabat tidak adil.

Beliau yakin bahawa kerjanya dapat dilakukan dari rumah kerana beliau mempunyai semua akses yang diperlukan ke sistem bank.

"Saya rasa pihak pengurusan lebih suka kakitangan yang hadir secara fizikal di pejabat. Pokok pangkalnya adalah isu kepercayaan… kerana mereka tidak bersedia memberikan akses kepada semua orang dalam pasukan,” kata Wayne, yang berusia 30-an tahun. 

Sumber : Today/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa