Citibank Singapore kembalikan bayaran Skim Sokongan Pekerjaan
Citibank Singapore mengembalikan bayaran Skim Sokongan Pekerjaan (JSS) kepada Pemerintah dan akan melakukan yang sama bagi sebarang pembayaran berikutnya di bawah skim tersebut.
Gambar: Citibank Singapore
SINGAPURA: Citibank Singapore mengembalikan bayaran Skim Sokongan Pekerjaan (JSS) kepada Pemerintah dan akan melakukan yang sama bagi sebarang pembayaran berikutnya di bawah skim tersebut.
Skim berkenaan bertujuan memberi sokongan gaji kepada syarikat untuk menangani COVID-19.
"Dengan memulangkan bayaran JSS, ia bermakna individu, keluarga dan syarikat yang lebih memerlukan bantuan akan meraih manfaat daripadanya," kata seorang jurucakap Citi hari ini (21 Mei) sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.
Bank antarabangsa itu merupakan salah satu daripada beberapa syarikat yang sudahpun mengembalikan subsidi gaji itu yang sepatutnya dimanfaatkan untuk membantu firma mengekalkan dan membayar sebahagian gaji pekerja mereka disebabkan teruk terjejas dek COVID-19.
Bagi tempoh April hingga Mei, subsidi tersebut menampung 75 peratus daripada gaji bulanan kasar untuk S$4,600 pertama setiap pekerja tempatan.
Citi sudahpun memulangkan bayaran pertama subsidi gaji itu tetapi tidak menyatakan jumlahnya.
Jurucakap syarikat itu turut berkata sekitar 80 peratus daripada 8,500 kakitangan Citi adalah rakyat Singapura atau penduduk tetap.
Para pekerja dimaklumkan tentang keputusan bank itu dalam sebuah emel yang dikirim hari ini oleh pegawai eksekutif Citi bagi Singapura, Encik Amol Gupte.
"Kami rasa ia adalah masa terbaik untuk memberi isyarat bahawa syarikat seperti Citi akan ada di sini untuk jangka panjang dan kesejahteraan masyarakat lebih besar di Singapura penting bagi kami," tulis Encik Gupte.
"Memandangkan jumlah kakitangan kami yang sangat besar, keputusan ini adalah sesuatu yang besar dan kami berharap ia akan memberi kesan yang besar kepada masyarakat kita."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.