Skip to main content

Kewangan

Cisco akan potong 7% tenaga kerja peringkat global meski permintaan bagi peralatannya meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
CALIFORNIA: Cisco Systems menyatakan pada Rabu (14 Ogos) bahawa ia menyaksikan permintaan yang melantun semula untuk peralatan rangkaiannya.

Ia turut mengumumkan pemotongan 7% pada jumlah tenaga kerja globalnya untuk memberi tumpuan kepada bidang pertumbuhan tinggi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan keselamatan siber.

Saham syarikat itu naik 5% dalam dagangan lanjutan selepas ia meramalkan hasil suku ketiga yang dijangka akan meningkat.

"Pencernaan inventori sudah selesai dan kami kini kembali ke persekitaran permintaan yang lebih normal," kata Ketua Pegawai Eksekutif Chuck Robbins semasa mengadakan panggilan telefon dengan para penganalisis.

Cisco telah berusaha untuk mengurangkan pergantungannya kepada perniagaan peralatan rangkaian besarnya, yang telah bergelut akibat gangguan pada rantaian bekalan dan kelembapan pada permintaan pascapandemik. Pada Februari, ia menyatakan bahawa ia akan mengurangkan 5% daripada tenaga kerja globalnya atau lebih daripada 4,000 pekerjaan.

Ia mengumumkan pemberhentian pekerja pusingan kedua pada Rabu, mengesahkan
laporan Reuters minggu lalu.

Syarikat yang berpangkalan di San Jose, California itu menganggarkan ia akan mengiktiraf caj sebelum cukai sehingga AS$1 bilion berkaitan dengan rancangan penstrukturan semula, dengan AS$700 juta hingga AS$800 juta daripada ini diiktiraf pada suku pertama.

Pemberhentian pekerja itu akan membolehkan Cisco "mengekalkan tumpuan kepada bidang pertumbuhan seperti perisian, perkhidmatan, AI dan keselamatan siber, sambil mengimbangi kewajipan kewangannya dan mengurangkan jumlah perkakasan dalam campuran produknya", menurut Michael Ashley Schulman, ketua pegawai pelaburan di Running Point Capital.

Ia menjangkakan pendapatan suku pertama dalam julat antara AS$13.65 bilion dan AS$13.85 bilion, titik tengahnya lebih tinggi daripada jangkaan purata penganalisis sebanyak AS$13.71 bilion, menurut data LSEG.

Untuk mempercepatkan kepelbagaian dan memanfaatkan pertumbuhan AI, Cisco bersetuju untuk membeli firma keselamatan siber Splunk tahun lalu dengan harga kira-kira AS$28 bilion, iaitu perjanjian terbesarnya.

Ia juga melancarkan dana AS$1 bilion pada bulan Jun untuk melabur dalam syarikat permula AI seperti Cohere, Mistral AI dan Scale AI.

Cisco melaporkan pendapatan sebanyak AS$13.64 bilion untuk suku keempat berakhir 27 Julai, berbanding dengan anggaran AS$13.54 bilion.

Keuntungan sahamnya ialah 87 sen bagi setiap saham berbanding dengan anggaran 85 sen.
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita