Chocolate Finance raih AS$15 juta; CEO tidak tolak kemungkinan tawar pengeluaran wang segera pada masa depan
Empat bulan selepas menggantung pengeluaran wang segera berikutan jumlah permintaan melonjak, syarikat Chocolate Finance pada Khamis (24 Jul) mengumumkan bahawa ia sudah memperoleh dana baharu berjumlah AS$15 juta (S$19.15 juta).
Ketua Pegawai Eksekutif Chocolate Finance, Walter de Oude, semasa satu temu bual pada 10 Mac 2025. (Gambar fail: CNA)
Dana tersebut dikumpulkan daripada Nikko Asset Management, serta pelabur sedia ada termasuk Peak XV (dahulunya dikenali sebagai Sequoia Capital India and Southeast Asia), Prosus, Saison Capital dan pengasas Chocolate Finance, Walter de Oude.
Syarikat teknologi kewangan itu merancang untuk menggunakan dana tersebut bagi mengembangkan operasinya di rantau ini, bermula dengan Hong Kong, di mana ia baru-baru ini memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa untuk beroperasi. Ia menjangkakan pelancaran di wilayah itu dapat dilaksanakan pada suku pertama 2026.
Pengembangan ke Hong Kong merupakan “langkah logikal seterusnya” memandangkan persekitaran pengawalseliaan dan infrastruktur teknologinya serupa dengan Singapura, kata Encik de Oude kepada Mediacorp dalam satu temu bual.
Syarikat itu menjadi tumpuan pada Mac lalu apabila ia menghentikan pengeluaran wang segera selepas menerima jumlah permintaan tinggi yang “amat luar biasa”. Para pelanggan mengeluarkan sebanyak S$500 juta dalam tempoh kira-kira dua minggu, mengurangkan sekitar 40 peratus jumlah aset di bawah pengurusannya, yang mencecah S$1 bilion pada sebulan sebelumnya.
Aset di bawah pengurusannya masih belum pulih sepenuhnya, tetapi kini mencecah hampir S$900 juta, dan keuntungan pula “tidak jauh daripada sasaran”, katanya.
Encik de Oude, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, berkata pengeluaran wang segera pada masa ini bukan “sebahagian daripada pelannya”, meskipun ia mungkin diperkenalkan semula pada masa akan datang.
“Buat masa ini,” katanya, pengeluaran wang akan ikut proses standard dan akan mengambil masa sehingga tiga hari.
“Kami terus meneroka cara untuk berinovasi dalam aspek itu apabila kami berkembang, tetapi apa yang kami dapati ialah sebenarnya … tempoh sehingga tiga hari untuk pengeluaran sudah memadai."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.