AS, China perlu tangani isu-isu tertentu untuk hurai perang dagang: PM Lee
Amerika Syarikat dan China perlu menangani isu-isu utama perdagangan yang dipertikaikan dan mencuba mencari huraian-huraian praktikal bagi masalah-masalah itu, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (18 Nov).
PORT MORESBY: Amerika Syarikat dan China perlu menangani isu-isu utama perdagangan yang dipertikaikan dan mencuba mencari huraian-huraian praktikal bagi masalah-masalah itu, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (18 Nov).
PM Lee turut memberitahu para wartawan di Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), kedua-dua negara juga perlu menyedari bahawa mereka harus bertolak ansur untuk menghuraikan pertikaian itu.
Beliau mengatakan bahawa Amerika Syarikat dan China tidak boleh melihat perang dagang itu sebagai satu "penyataan percanggahan asas".
"Kerana akan muncul persoalan (tentang) 'mengapa saya perlu bertolak ansur? Jika saya lakukan itu, anda akan menolak saya dan jika itu berlaku, saya akan bertindak balas'," kata PM Lee.
"Jadi sekarang kita di jalan buntu, apa yang seharusnya boleh dielak menjadi satu kenyataan. Dan kita sekarang bertelagah."
PM Lee berkata ketegangan antara dua kuasa besar dunia itu perlu dianggap sebagai "isu-isu perdagangan praktikal".
"Saya berfikir para perunding perdagangan, menteri-menteri hal ehwal ekonomi kedua-dua pihak, perlu berbincang beberapa isu secara bersama. Anggap ada niat baik di sebalik langkah itu dan cari jalan keluar praktikal," katanya.
"Bolehkah ini dilakukan? Ia satu dilema tentang siapakah yang harus memulakannya dan perlu ada kepercayaan. Anda lakukan itu dan anda akan dapat keyakinan (pihak lain).
"Tapi sebenarnya ia bergantung kepada sama ada kedua-dua negara menyedari bahawa mereka perlu saling bekerjasama, kerana kedua-duanya kuasa besar dan sekiranya mereka bertelingkah, ia akan saling merugikan."
PM Lee menambah, Singapura dan ekonomi-ekonomi lain di rantau ini juga akan ikut terbabit "dengan ketara".
PM Lee mengulas demikian sedang ketegangan antara Amerika Syarikat dengan China memburuk.
Beliau selanjutnya berkata bahawa beliau, dan para pemimpin lain APEC, berharap perdagangan yang sudah membantu rantau ini mencapai kemakmuran, tidak akan terganggu dan ketegangan antara kedua-dua ekonomi terbesar itu dapat dileraikan secara baik.
Hari ini (18 Nov), PM Lee turut bertemu dengan para pemimpin lain APEC dalam satu retreat dan jamuan tengah hari.
Beliau berkata kepimpinan APEC sangat penting dengan adanya tekanan hebat terhadap dasar berbilang hala dan perdagangan bebas.
Beliau turut menyeru supaya usaha diteruskan dalam merealisasikan sebuah Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.