China balas tarif Trump, naikkan duti barangan Amerika kepada 125%
Sebagai tindak balas terhadap keputusan Presiden Donald Trump yang menaikkan duti ke atas barangan China kepada 145 peratus, Beijing menaikkan tarif ke atas import dari Amerika Syarikat kepada 125 peratus pada Jumaat (11 Apr).

Kontena-kontena penghantaran dari China di sebuah pelabuhan di Los Angeles, Wilmington, California, pada 4 Februari 2025. (Gambar: REUTERS/Mike Blake)
Tarif sebanyak 125 peratus itu, berbanding 84 peratus sebelumnya, akan berkuat kuasa pada Sabtu, sekali gus meningkatkan ketegangan dalam perang dagang yang mungkin menjejas rantaian bekalan global.
Kenaikan tersebut dibuat menyusuli tekanan berterusan oleh Rumah Putih terhadap China, ekonomi kedua terbesar di dunia dan penyumbang import kedua terbesar kepada Amerika Syarikat. Walaupun Amerika menggantung kebanyakan duti “timbal balik” yang dikenakan ke atas puluhan negara lain, ia tetap mengenakan tarif tambahan ke atas China.
“Tindakan Amerika Syarikat mengenakan tarif yang luar biasa tinggi ke atas China merupakan pelanggaran serius terhadap peraturan perdagangan antarabangsa dan ekonomi, hukum asas ekonomi, kewarasan, dan merupakan tindakan buli serta paksaan sepihak secara sepenuhnya,” menurut Kementerian Kewangan China dalam satu kenyataan.
Kementerian itu turut menyatakan bahawa China akan “mengabaikan” sebarang kenaikan tarif selanjutnya oleh Amerika kerana barangan dari negara itu tidak lagi memberikan nilai ekonomi kepada para pengimport.
“Langkah berulang Amerika Syarikat mengenakan tarif luar biasa tinggi ke atas China kini menjadi satu permainan angka yang tidak memberikan sebarang makna ekonomi yang praktikal,” menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa China menggesa Amerika untuk “mengambil langkah besar dalam menghapuskan tarif yang dikatakan sebagai ‘timbal balik’ dan membetulkan amalannya yang salah dengan sepenuhnya”.
Kementerian Perdagangan China turut menegaskan bahawa negara itu akan terus mengambil langkah balas secara tegas dan akan “berjuang habis-habisan” sekiranya Amerika berkeras dan terus melanggar kepentingan China dengan ketara.
Jurucakap kementerian itu juga menyelar tarif berkenaan sebagai “permainan angka” yang “akan menjadi bahan jenaka”, dan turut mengatakan bahawa Amerika harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap rejim tarif Encik Trump yang tidak menentu.
Wakil China ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) turut memaklumkan pada Jumaat bahawa pihaknya telah mengemukakan aduan tambahan kepada badan perdagangan tersebut berhubung tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.
Minggu lalu, Beijing menggantung import sorgum, ayam dan serbuk tulang daripada beberapa syarikat Amerika, mengetatkan kawalan eksport terhadap mineral nadir bumi yang penting bagi pelbagai teknologi, serta memasukkan beberapa puluh syarikat Amerika dalam senarai sekatan yang menghalang syarikat China daripada menjual barangan dwi guna kepada mereka.
Memandangkan saiz kedua-dua ekonomi tersebut, para pakar bimbang keadaan itu boleh mencetuskan kekacauan ekonomi global.
Ketua WTO, Ngozi Okonjo-Iweala, berkata awal minggu ini bahawa perang dagang antara Amerika Syarikat dan China “boleh menjejaskan prospek ekonomi global dengan serius”.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.