Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

CCCS luluskan pemerolehan Kopitiam oleh NTUC Enterprise

Pemerolehan syarikat pengendali pusat makanan tempatan Kopitiam oleh NTUC Enterprise sudah diluluskan oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Dec 2018 09:01PM Dikemas Kini : 20 Dec 2018 09:23PM

SINGAPURA: Pemerolehan syarikat pengendali pusat makanan tempatan Kopitiam oleh NTUC Enterprise sudah diluluskan oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS).

Pemerolehan itu diluluskan kerana ia tidak akan menyebabkan "kekurangan persaingan yang ketara dalam kalangan pasaran-pasaran relevan di Singapura," menurut CCCS dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (20 Dis).

Sebagai sebahagian daripada penilaiannya, CCCS sudahpun menjalankan rundingan awam selama dua minggu pada bulan Oktober. CCCS juga sudah mengadakan perbincangan dengan para penyewa, pesaing, pelanggan serta para wakil persatuan-persatuan pusat penjaja dan pelbagai agensi pemerintah.

"Kebanyakan pihak berkepentingan mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang keprihatinan terhadap urus niaga yang disarankan, manakala ada segelintir yang menyuarakan kebimbangan," menurut CCCS.

Sebahagian besar keprihatinan adalah berhubung Foodfare menjadi 'pemain lebih besar' dan mempunyai kuasa tawar-menawar yang lebih kukuh terhadap para penyewa. Pihak-pihak berkepentingan juga membangkitkan kemungkinan bahawa dengan bilangan pengendali menjadi lebih kecil, harga sewa dan makanan juga mungkin menjadi lebih tinggi.

CCCS menyatakan ia mendapati masih lagi terdapat banyak pengendali yang bersaing seperti Koufu, Food Junction, Food Republic, Kimly dan Broadway menyusuli pemerolehan tersebut.

Pengendali pusat-pusat makanan dan kedai-kedai kopi dijangka tidak akan berpakat kerana jumlah besar pengendali dan ketelusan harga sewa dan yuran yang dikenakan yang lebih rendah menjadikannya lebih sukar untuk para pengendali memantau satu sama lain.

NTUC Enterprise juga menyatakan hubungan antara para pemegang gerai dengan pembekal pilihan mereka tidak akan terganggu kerana ia tidak memerlukan para pemegang gerai untuk mendapatkan bekalan makanan daripada NTUC Enterprise.

CCCS menyatakan ruang gerai yang disewakan kepada para pengendali pesaing tidak mungkin disekat atau ditolak semata-mata untuk NTUC Enterprise mengasingkan diri daripada para pesaing. Ini kerana para pengendali mempunyai pilihan untuk menyewa ruang gerai daripada para penyewa alternatif.

PROSES PEMEROLEHAN DISELESAIKAN PADA JANUARI

NTUC Enterprise menyatakan hari ini (20 Dis) bahawa ia mengalu-alukan keputusan CCCS.

Pemerolehan itu dijangka diselesaikan pada Januari tahun depan, menurut CCCS sambil menambah bahawa Foodfare dan Kopitiam akan terus beroperasi secara berasingan dengan pasukan pengurusan dan kakitangan masing-masing.

Para pemegang kad kesetiaan Kopitiam boleh terus menggunakan kad mereka di semua cawangan Kopitiam, menurut CCCS.

"NTUC Enterprise akan terus bekerjasama sebagai sebuah kumpulan bagi memenuhi misi sosial kami untuk menyediakan khidmat dan produk penting yang bermutu," kata Pengarah Eksekutif, Kee Teck Koon.

"Dengan kerjasama NTUC Foodfare dan Kopitiam, kami akan berada dalam kedudukan lebih baik untuk menawarkan makanan dimasak yang lebih bermutu tinggi pada harga yang dimampui dan agar ia mudah diakses bagi semua orang."  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan