Cathay Cineplexes bakal ditutup secara sukarela di tengah isu kewangan
Cathay Cineplexes akan ditutup secara sukarela di tengah-tengah masalah kewangan, menurut syarikat pengendali mm2 Asia pada Isnin (1 Sep).
Cawangan Cathay Cineplexes di pusat beli-belah JEM. (Gambar fail: Facebook/Cathay Cineplexes)
Menurut mm2 Asia, Cathay Cineplexes tidak lagi mampu beroperasi disebabkan kedudukan kewangannya yang lemah dan tiada pilihan untuk penyusunan semula.
Syarikat pawagam itu sudah mencuba berunding dengan pemiutang untuk mencari jalan keluar, tetapi gagal mencapai persetujuan mengenai cara melunaskan hutang.
Mesyuarat untuk ahli dan pemiutang Cathay Cineplexes akan diadakan dalam masa terdekat.
Minggu lalu, mm2 Asia melaporkan kerugian bersih sebanyak S$122.4 juta bagi tahun fiskal 2025, meningkat mendadak daripada kerugian S$1.9 juta pada tahun sebelumnya.
Pengerusi eksekutif mm2 Asia, Melvin Ang, berkata separuh kedua tahun fiskal 2025 sangat mencabar, terutamanya disebabkan oleh masalah undang-undang dan kewangan dari perniagaan pawagam mereka.
Beliau juga mengakui bahawa keadaan kembali pulih selepas COVID-19 adalah lebih perlahan dari yang dijangka, dan syarikat itu memahami pendirian tuan tanah mereka.
mm2 Asia juga menyatakan bahawa perniagaan pawagam berdepan cabaran besar. Ini termasuk jumlah penonton yang belum pulih sepenuhnya selepas pandemik COVID-19, persaingan sengit daripada platform penstriman, dan margin keuntungan yang tipis.
Dalam tempoh kira-kira tiga tahun, enam pawagam Cathay Cineplexes ditutup. Kini, hanya tinggal empat pawagam yang beroperasi, dengan mm2 Asia menanggung hutang sewa berjuta-juta dolar kepada tuan tanah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.