CapitaLand Investment berhentikan 90 pekerja; 4% tenaga kerja berpangkalan di SG
CapitaLand Investment memberhentikan sekitar 90 pekerja di Singapura setakat tahun ini sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula syarikat tersebut, menurut jurucakapnya pada Khamis (3 Sep).
Logo CapitaLand Investment di pejabatnya di Singapura pada 8 Mei 2026. (Gambar fail: Reuters/Yantoultra Ngui)
Pemberhentian pekerja itu merupakan sebahagian daripada perubahan bagi menyokong keperluan perniagaan dan operasi syarikat selepas semakan berkala dijalankan terhadap struktur syarikat tersebut.
Demikian menurut kenyataan bersama CapitaLand Investment dengan Kesatuan Pekerja Perindustrian dan Perkhidmatan Singapura (SISEU).
CapitaLand Investment menyatakan sokongan terhadap pekerja menjadi keutamaannya, sambil menambah bahawa mereka yang terjejas akan menerima pakej pemberhentian pekerja yang adil, khidmat peralihan kerjaya serta sokongan kaunseling.
Peluang untuk ditempatkan semula dalam syarikat itu juga akan dipertimbangkan jika sesuai.
SISEU, yang merupakan ahli Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), dimaklumkan lebih awal mengenai langkah penyusunan semula tersebut dan sudah berhubung dengan CapitaLand Investment sepanjang proses itu.
Ini termasuk mewakili kepentingan pekerja, memastikan mereka yang terjejas dilayan secara adil serta pakej pemberhentian pekerja yang diberikan selaras dengan perjanjian bersama.
Kesatuan itu turut membantu pekerja sepanjang tempoh peralihan.
SISEU menyatakan perubahan tenaga kerja boleh menimbulkan cabaran kepada pekerja yang terjejas dan ia akan menghulurkan bantuan serta sumber tambahan kepada anggota kesatuan dan pekerja jika diperlukan.
SEKITAR 4% TENAGA KERJA SG TERJEJAS
CapitaLand Investment adalah pengurus aset nyata global yang beribu pejabat dan disenaraikan di Bursa Singapura, dengan operasi di lebih 40 negara.
Menurut Laporan Kemampanan Global ke-17 CapitaLand Investment, syarikat itu menggajikan 9,542 pekerja di merata dunia pada 2025.
Daripada jumlah itu, 24 peratus atau sekitar 2,290 pekerja berpangkalan di Singapura.
Pemberhentian sekitar 90 pekerja itu membentuk kira-kira 4 peratus tenaga kerja syarikat tersebut di Singapura pada 2025.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.