CAAS tarik balik penggantungan operasi Boeing 737 MAX di Singapura
Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) menarik balik penggantungan operasi pesawat Boeing 737 MAX di Singapura mulai Isnin (6 Sep).
SINGAPURA: Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) menarik balik penggantungan operasi pesawat Boeing 737 MAX di Singapura mulai Isnin (6 Sep).
Penggantungan operasi itu dikenakan pada Mac 2019 menyusuli dua kemalangan melibatkan jenis pesawat tersebut dalam kurang.
Pada Mac 2019, sebuah penerbangan Ethiopian Airlines terhempas membunuh 157 orang. Pada Oktober 2018, 189 orang maut apabila sebuah pesawat Lion Air 737 MAX 8 jet terhempas di Indonesia.
"CAAS membuat keputusan menarik balik sekatan itu setelah selesai pemeriksaan teknikalnya, yang termasuk penilaian perubahan reka bentuk kepada pesawat itu yang dilakukan Boeing dan diluluskan Pentadbiran Penerbangan Federal Amerika Syarikat (FAA) serta penguasa pengesahan yang lain,” kata CAAS pada Isnin.
"CAAS juga menyemak data operasi penerbangan pesawat itu sejak ia kembali berkhidmat sepanjang sembilan bulan lalu dan memerhatikan tiada isu keselamatan yang membimbangkan."
AS menarik balik larangan penerbangan
menggunakan Boeing 737 MAX pada November 2020 selepas proses semakan 20 bulan.
FAA ketika itu turut menerbitkan arahan keselamatan penerbangan yang menetapkan perubahan reka bentuk -termasuk memasang perisian kawalan penerbagnan dan sistem pameran baru - yang mesti dibuat sebelum pesawat itu boleh kembali beroperasi selain syarat-syarat latihan.
Sejajar dengan itu, CAAS mengeluarkan arahan yang menghendaki pengendali penerbangan Singapura yang bercadang untuk menggunakan Boeing 737 MAX agar mematuhi dan melaksanakan semua tindakan diperlukan yang dinyatakan dalam arahan FAA dan arahan CAAS.
Singapore Airlines mempunyai enam pesawat Boeing 737 MAX 8, menurut makluman nasihat yang dikeluarkannya pada Mac 2019.
Bagi syarikat penerbangan asing yang ingin mengendalikan pesawat itu ke Singapura, ia harus mematuhi syarat CAAS dan FAA, serta syarat lain yang ditetapkan pihak berkuasa penerbangan awam masing-masing, menurut CAAS.
Selain Amerika Syarikat, pengawal selia lain yang telah menarik balik sekatan ke atas pesawat Boeing 737 MAX termasuk Kesatuan Eropah, Kanada, Australia dan New Zealand.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.