Skip to main content

Kewangan

Boeing ikrar S$135 juta bantu keluarga mangsa nahas pesawat

Boeing Co pada Rabu (3 Jul) menyatakan ia akan menghulurkan sumbangan AS$100 juta (S$135 juta) kepada pertubuhan-pertubuhan untuk membantu para keluarga yang terjejas oleh nahas-nahas menyebabkan korban jiwa melibatkan pesawat-pesawat 737 MAX syarikat berkenaan di Indonesia dan Habsyah.

Anggaran Waktu Membaca:
Boeing ikrar S$135 juta bantu keluarga mangsa nahas pesawat

Pesawat-pesawat Boeing 737 MAX di Kilang Boeing di Renton, Washington, Amerika Syarikat. (Gambar: Lindsey Wasson/REUTERS)

Diterbitkan : 04 Jul 2019 10:15AM Dikemas Kini : 04 Jul 2019 10:16AM

SEATTLE: Boeing Co pada Rabu (3 Jul) menyatakan ia akan menghulurkan sumbangan AS$100 juta (S$135 juta) kepada pertubuhan-pertubuhan untuk membantu para keluarga yang terjejas oleh nahas-nahas menyebabkan korban jiwa melibatkan pesawat-pesawat 737 MAX syarikat berkenaan di Indonesia dan Habsyah.

Seorang jurucakap Boeing berkata, sumbangan yang akan dibahagikan sepanjang beberapa tahun itu tiada kaitan dengan tindakan undang-undang yang diambil selepas nahas-nahas yang membunuh 346 penumpang keseluruhannya.

Boeing menyatakan dana tersebut akan menyokong pendidikan, kesukaran hidup dan perbelanjaan buat keluarga-keluaraga terjejas selain program kemasyarakatan dan pembangunan ekonomi dalam masyarakat terjejas.

Syarikat pembuat kapal terbang dari Amerika Syarikat itu menyatakan ia akan bekerjasama dengan pemerintah tempatan dan pertubuhan bukan meraih untung "untuk menangani keperluan tersebut".

Puluhan tindakan undang-undang telah difailkan terhadap Boeing oleh para keluarga mangsa nahas Lion Air dan Ethiopian Airlines.

Syarikat itu dalam perbincangan bagi penyelesaian mengenai litigasi Lion Air dan secara berasingan juga menawarkan untuk berunding dengan para keluarga korban nahas Ethiopian Airlines walaupun beberapa keluarga mengatakan mereka tidak bersedia untuk menyelesaikannya.

Sumbangan itu diikrarkan pada Rabu sedang Boeing berdepan soal siasat oleh para pengawal selia sejagat dan para penggubal undang-undang Amerika Syarikat berhubung perkembangan 737 MAX. 

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita