Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Bilik hotel di Marina Bay habis ditempah bagi hujung minggu perlumbaan F1

Hanya tinggal dua minggu sebelum perlumbaan Formula One (F1) di Singapura, yang pertama sejak tahun 2019, akan membuka tirainya.

Anggaran Waktu Membaca:
Bilik hotel di Marina Bay habis ditempah bagi hujung minggu perlumbaan F1

Pelancong memakai pelitu[ sedang mereka berjalan berdekatan litar perlumbaan Formula One ketika Singapura diselubungi jerebu pada September 2019. (Gambar: AFP)

SINGAPRA: Hanya tinggal dua minggu sebelum perlumbaan Formula One (F1) di Singapura, yang pertama sejak tahun 2019, akan membuka tirainya.

Namun, peminat yang sedang meninjau-ninjau hotel di kawasan berhampiran litar jalan raya Marina Bay untuk ditempah bagi menonton aksi perlumbaan mungkin tidak mempunyai banyak pilihan - sama ada bilik hotel yang paling mahal atau tiada langsung kerana kebanyakan hotel popular sudahpun habis ditempah sepenuhnya.

Hotel-hotel yang menawarkan pemandangan perlumbaan waktu malam seperti The Ritz-Carlton sudah ditempah sepenuhnya bagi hujung minggu tersebut, bahkan bilik-bilik yang tidak mempunyai pemandangan kawasan Marina Bay juga habis ditempah.

Setakat Jumaat (16 Sep), Pan Pacific dan Marina Bay Sands tidak lagi menyenaraikan bilik-bilik kosong bagi hujung minggu perlumbaan F1 di laman masing-masing.

Hotel-hotel lain seperti Mandarin Oriental pula hanya menyenaraikan bilik lebih besar atau suite bermula dari S$3,300 untuk satu malam.

Singapore Grand Prix F1 2022, berlangsung dari 28 September hingga 2 Oktober, menandakan kembalinya perlumbaan tahunan pada waktu malam selepas dua kali dibatalkan - pada 2020 dan 2021 - dek pandemik COVID-19.

Penjualan tiket tahun ini menjangkaui perlumbaan lalu pada 2019, sekali gus membangkitkan keyakinan dalam kalangan pihak berkepentingan bahawa acara sukan permotoran itu akan menyaksikan sambutan paling hangat sejak ia dimulakan pada 2008.

Apabila tiket mula dijual pada April, kelompok pertama tiket dan pakej yang dikeluarkan bagi acara tiga hari laris dijual dalam masa enam jam. Bagaimanapun, sesetengah pembeli mengadu mereka mengalami masalah dengan sistem pembelian tiket online, dengan menyifatkannya sebagai "huru-hara".

Bagi penganjur, iaitu Singapore Grand Prix, hal itu dianggap sebagai satu "kejayaan besar".

RESPONS PANTAS SEJURUS PERLUMBAAN DIUMUMKAN

Beberapa hotel yang dihubungi Mediacorp menyaksikan minat untuk menempah bilik dibuat lebih pantas berbanding musim-musim perlumbaan lalu.

Raffles Hotel Singapore, yang sudah penuh ditempah bagi hujung minggu tersebut, menyatakan orang ramai mula bertanya tentang bilik-bilik kosong sejurus selepas tarikh bagi perlumbaan F1 akan datang diumumkan.

Encik Gino Tan, Ketua Pengurus Negara The Fullerton Hotels and Resorts, berkata: "Kami menyaksikan kadar kukuh tempahan (bilik) bagi tempoh F1 tahun ini yang sudah melepasi kadar tempahan yang diterima pada 2019."

Beliau menambah kadar penginapan di dua hartanah milik kumpulan tersebut di sini - The Fullerton Hotel Singapore dan The Fullerton Bay Hotel Singapore — kini berada pada paras paling tinggi.

Sesetengah hotel yang terletak jauh sedikit dari litar perlumbaan, seperti Capri by Fraser di China Square, juga melaporkan permintaan lebih kukuh.

Hotel-hotel di kawasan itu juga sedang menyesuaikan harga mereka sejajar dengan permintaan yang meningkat.

Bagaimanapun, sesetengah hotel menyatakan tidak semua penyesuaian harga bagi biliknya terkait dengan acara F1 dan pelancong yang dipikatnya untuk datang ke Singapura.

Mr Patrick Fiat, Ketua Pengarah Royal Plaza on Scotts yang terletak di kawasan beli-belah Orchard Road, memberitahu Mediacorp harga purata harian bagi bilik hotel naik hampir 35 peratus berbanding harga bagi tempoh sama pada 2019 "disebabkan perkembangan industri pelancongan".

Bagi kadar penginapan pula, ia sebahagian besarnya kekal serupa dengan tempoh yang sama pada 2019.

Beliau menambah "trend penginapan di hotel kami tidak begitu khusus bagi F1" memandangkan ia terletak lebih jauh dari litar perlumbaan.

Jika diketepikan soal harga bilik dan jaraknya dari litar perlumbaan, hotel-hotel yang dihubungi secara amnya menyaksikan perniagaan masing-masing meningkat sewaktu tempoh ini.

KETIBAAN TERTINGGI PELANCONG SEJAK PERLUMBAAN PERTAMA

Beberapa data perjalanan dan berkaitan tempahan menunjukkan pemulihan kukuh dalam ketibaan pelawat ke Singapura menjelang perlumbaan F1.

Perangkaan yang dikeluarkan oleh STB pada Julai lalu menunjukkan bagi separuh pertama tahun ini, Singapura menyambut 1.5 juta ketibaan pelawat - hampir 12 kali lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu apabila kawalan sempadan bagi COVID-19 adalah lebih ketat.

Data daripada Sojern, iaitu penyedia huraian pemasaran digital, menunjukkan tempahan penerbangan ke Singapura terus meningkat sebanyak 305 peratus setakat Ogos sejak awal tahun ini.

Firma itu juga menyaksikan tempahan bagi penginapan dan penerbangan dibuat lebih awal semasa tempoh perlumbaan F1 tahun ini berbanding sebelum penangguhannya dek COVID-19, maka mengukuhkan lagi pemerhatian yang disaksikan hotel-hotel yang dihubungi Mediacorp.

Pada awal tahun ini, STB dan Singapore Grand Prix mengumumkan Singapura memperbaharui semula kontrak untuk menjadi tuan rumah bagi perlumbaan F1 dari 2022 hingga 2028.
Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan