Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Belia SG perlu bertindak pantas di tengah ekonomi merudum & inflasi berlarutan, kata pakar

Anggaran Waktu Membaca:
Belia SG perlu bertindak pantas di tengah ekonomi merudum & inflasi berlarutan, kata pakar

Para pekerja di Raffles Place di pusat bandar Singapura. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Inflasi yang tinggi dan pertumbuhan ekonomi semakin lemah diramal berterusan pada 2023, dan karyawan muda di Singapura yang tidak biasa berdepan dengan keadaan sedemikian perlu mengambil langkah untuk melindungi masa depan mereka, kata para pakar.

Mereka menegaskan betapa pentingnya sikap berhemat dan menyediakan jaringan keselamatan, lebih-lebih lagi di tengah-tengah ketidaktentuan dalam pasaran buruh yang merudum.

Para pakar juga menarik perhatian tentang manfaat pelaburan untuk mengatasi kesan inflasi yang menghakis nilai wang simpanan.

"Warga lebih tua," kata ahli ekonomi CIMB Private Banking Song Seng Wun, "mempunyai pengalaman berdepan dengan kos sara hidup lebih tinggi dan kadar faedah lebih tinggi dalam kehidupan seharian.

"Namun warga lebih muda, terutamanya mereka yang baru mula bekerja...saya fikir mereka perlu membuat penyesuaian kepada perkara-perkara seperti lonjakan kos pinjaman dan kos sara hidup lebih tinggi."

RAMALAN PERTUMBUHAN 2023

Ekonomi sejagat

Meskipun mereka mengemukakan unjuran yang berbeza-beza, pakar ekonomi rata-rata bersetuju bahawa ekonomi sejagat akan tumbuh pada rentak lebih perlahan pada 2023 berbanding tahun lalu.

Maybank, dalam laporan 'ASEAN Macro 2023 Year Ahead', meramalkan pertumbuhan hasil dalam negeri kasar (GDP) lebih perlahan, iaitu 1.7 peratus pada 2023, merosot daripada 2.9 peratus pada 2022.

Sementara itu, Standard Chartered dalam laporan Ramalan Ekonomi 2023 mengunjurkan pertumbuhan sebanyak 2.5 peratus tahun ini, juga lebih rendah berbanding 3.4 peratus yang diramalkan bagi 2022.

Pakar ekonomi Maybank juga menjangkakan kemelesetan sederhana "sebahagian besarnya disebabkan ekonomi-ekonomi maju, bukan ekonomi membangun."

Ahli ekonomi kanan Maybank Chua Hak Bin berkata  "kemungkinan Amerika Syarikat mengalami kemelesetan sepanjang 12 bulan akan datang adalah tinggi, iaitu 40 peratus."

Ekonomi Singapura

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) meramalkan pada November 2022 bahawa GDP Singapura akan tumbuh "sekitar 3.5 peratus" pada 2022, dan antara "0.5 hingga 2.5 peratus" pada 2023.

Secara berasingan, tinjauan setiap suku tahun Penguasa Kewangan Singapura (MAS) yang diterbitkan pada pertengahan Disember mendapati ahli ekonomi sektor privet mengurangkan unjuran pertumbuhan GDP negara ini kepada 1.8 peratus, berbanding 2.8 peratus pada September.

Ketua penyelidikan dan strategi OCBC Selena Ling berkata sektor pengilangan menguncup buat kali kedua berturut-turut pada suku ketiga tahun lalu manakala industri perkhidmatan mencatat pertumbuhan lebih rancak. Sektor pengilangan, menurut Cik Ling, dijangka akan terus ketinggalan sektor-sektor lain.

"Keadaan ekonomi luar yang melemah akan semakin menjejas sektor-sektor di Singapura yang bergantung kepada faktor-faktor luar," kata Cik Ling.

Sementara itu, sektor-sektor pengguna dan industri berkaitan dengan pelancongan dijangka meraih manfaat daripada pemulihan sektor perjalanan udara dan ketibaan pelawat dari luar negara, menurut sebilangan ahli ekonomi.

Sebaliknya, pasukan ahli ekonomi DBS berkata isu "kekurangan tenaga manusia sekarang membataskan ramalan jangka terdekat" bagi sektor perkhidmatan, meskipun ia mencatat prestasi kukuh kebelakangan ini.

Tekanan pada pertumbuhan gaji akibat pasaran buruh yang ketat juga akan membataskan  kadar perbelanjaan, dan sekali gus melemahkan permintaan pengguna tempatan.

"Secara ringkasnya, meskipun kami meramalkan pertumbuhan dalam kelompok perkhidmatan akan berkekalan sepanjang dua suku akan datang, tanda-tanda kelemahan mungkin akan muncul menjelang pertengahan 2023," menurut DBS.

RAMALAN INFLASI TEMPATAN

Kebanyakan ahli ekonomi meramalkan inflasi akan terus tinggi di Singapura meskipun ia sudah mencatat puncaknya pada September 2022, sebahagian besar disebabkan peningkatan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 1 peratus kepada 8 peratus pada Januari.

Standard Chartered, yang meramalkan inflasi keseluruhan dan teras masing-masing sebanyak 5.0 peratus dan 4.4 peratus pada 2023, sambil menambah "ramalan kami adalah lebih rendah" jika tidak kerana kenaikan GST.

Sementara itu, Cik Ling dari OCBC meramalkan inflasi keseluruhan dan teras masing-masing akan kekal pada sekitar 6 peratus dan 4 peratus berbanding setahun lalu, dengan merujuk kepada faktor-faktor "pemacu tempatan" seperti GST, kenaikan harga tambang pengangkutan awam dan pasaran buruh yang ketat.

Ahli ekonomi juga meramalkan kos perumahan akan kekal kukuh.

Pada masa yang sama, ahli ekonomi tidak menolak kemungkinan Singapura akan berdepan dengan risiko kemelesetan.

"Risiko kemelesetan semakin bertambah, tetapi kesan kemelesetan dijangka sederhana kerana disokong oleh sektor-sektor yang dibuka semula, termasuk hospitaliti penerbangan, makanan dan minuman, runcit dan binaan," kata Dr Chua dan Cik Lee dari Maybank.

Pasukan ahli ekonomi DBS meramalkan "rentak pertumbuhan akan melemah dalam suku-suku akan datang, dan kemungkinan berlakunya kemelesetan teknikal dalam jangka tiga suku akan datang tidak sepatutnya ditolak", menurut laporan Ramalan Singapura 2023.

MELABUR ATAU MENABUNG?

'Perbelanjaan selama sembilan bulan'

Dr Chua dari Maybank menarik perhatian bahawa "penduduk lebih muda mungkin tidak pernah mengalami kemelesetan, kadar pinjaman perumahan tinggi dan inflasi tinggi".

"Mereka perlu belajar bagaimana untuk menyesuaikan gaya hidup dan perbelanjaan di tengah-tengah persekitaran yang berubah-ubah dan tidak menentu," tambah beliau.

Ahli ekonomi kanan DBS Irvin Seah berkata pertumbuhan ekonomi lebih perlahan mungkin mendatangkan kesan buruk kepada pasaran buruh.

Pengasas bersama dan editor pengurusan laman pelaburan Dollars and Sense Timothy Ho menyentuh tentang kemungkinan kehilangan pekerjaan sambil menambah bahawa "ia tidak lagi benar" bahawa sebahagian besar pemberhentian kerja hanya menjejas pekerja lebih tua, memandangkan  pekerja berusia 35 tahun juga diberhentikan kerja kebelakangan ini.

Ini menegaskan lagi betapa pentingnya bagi generasi muda membina jaringan keselamatan bagi diri masing-masing sebagai persiapan menghadapi  masa depan tidak menentu, kata para pakar kewangan.

Cik Daphne Lye, yang mengetuai pasukan huraian bagi wadah penasihat kewangan MoneyOwl, berkata: "Secara asasnya, kita perlu membina tabung kecemasan untuk menampung perbelanjaan sekitar enam bulan sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan seperti kehilangan pekerjaan atau perbelanjaan di luar jangkaan."

Encik Ho mengesyorkan tabung kecemasan yang dapat menampung perbelanjaan sepanjang enam hingga sembilan bulan.

Tidak lagi memadai untuk sekadar menabung

Profesor perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS) Lawrence Loh berkata, kaedah-kaedah tradisional demi menjamin keperluan kewangan seperti menabung tidak lagi memikat  pengguna akibat lonjakan inflasi kebelakangan ini.

Generasi muda, lebih-lebih lagi mereka yang tidak menanggung perbelanjaan anggota keluarga lain, mungkin dapat bersikap lebih berani dan mengintai peluang pelaburan dalam aset-aset berisiko.

"Inilah masanya untuk mengambil langkah bijak dan proaktif dengan memindahkan simpanan tunai kepada wadah-wadah yang mendatangkan pendapatan tetap, seperti akaun deposit tetap dan Bon Simpanan Singapura (SSB)," ujar penulis blog kewangan SG Budget Babe Dawn Cher.

Para pakar kewangan juga mensyorkan wadah-wadah pelaburan sebagai kaedah untuk menerima pulangan yang mengatasi kadar inflasi.

"Ironisnya sepanjang dua tahun lalu, orang ramai berharap bahawa pasaran saham akan menjunam agar mereka dapat membeli saham pada harga lebih murah, tetapi sekarang apabila pasaran saham menjunam, semua orang khuatir dan terlalu takut untuk melabur," kata Cik Cher.

Namun beliau menambah bahawa pelaburan yang wajar dipilih bergantung pada masa dan sumber yang dimiliki setiap individu untuk mengurus pelaburan masing-masing.

Di tengah-tengah keadaan ekonomi yang tidak menentu, Encik Ho memberi amaran supaya mengambil pendekatan jangka panjang dalam pelaburan, dan tidak melaburkan segala sumber yang ada dengan menaruh harapan bahawa pasaran akan beransur pulih pada suatu hari kelak."

Sumber : Today/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan