Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Belia Melayu/Islam perlu berani teroka luar bidang selesa, ceburi sektor berkembang, gesa Zaqy

Meski masyarakat Melayu/Islam banyak catat kemajuan dari segi pendidikan dan ekonomi, Encik Zaqy galak generasi muda rebut peluang dalam sektor pertumbuhan seperti ICT dan STEM agar terus berdaya tahan menghadapi ekonomi masa depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Belia Melayu/Islam perlu berani teroka luar bidang selesa, ceburi sektor berkembang, gesa Zaqy

Encik Zaqy Mohamad (dua dari kiri) di satu acara pendampingan pelajar IHL anjuran MENDAKI pada 11 Sep 2021 (Gambar: MENDAKI)

SINGAPURA: Belia Melayu/Islam perlu berani "teroka luar zon selesa" mereka untuk menggarap peluang dalam bidang-bidang baru yang relevan dengan pertumbuhan ekonomi Singapura.

Ini termasuk menceburi dan berkembang maju dalam sektor pertumbuhan berlandaskan teknologi digital seperti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Selain itu, mereka juga harus memiliki kemahiran yang boleh dipindahkan dan mampu menyesuaikan diri kepada sekitaran pekerjaan baru agar lebih berdaya tahan bagi masa depan.

Demikian nasihat Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad pagi tadi (11 Sep) kepada hampir 50 belia serta ibu bapa mereka dalam satu sesi pendampingan anjuran Yayasan MENDAKI bagi penuntut Institut Pengajian Tinggi (IHL).

Encik Zaqy, yang juga timbalan pengerusi MENDAKI, berkongsi pencapaian yang diraih masyarakat Melayu/Islam sepanjang sedekad lalu.

Merujuk kepada hasil Banci Penduduk 2020 yang diterbitkan baru-baru ini, beliau menarik perhatian jumlah siswazah universiti yang naik seganda kepada 10.8 peratus pada 2020 berbanding 5.5 peratus, sedekad sebelumnya.

Graduan politeknik Melayu/Islam pula mengikuti pelbagai bidang pengajian, khususnya, Sains Kesihatan, Komunikasi Massa & Sains Teknologi serta Perkhidmatan.

Bidang-bidang itu, menurut Encik Zaqy, adalah antara bidang utama pasaran tenaga kerja dan akan sentiasa relevan.

"Namun, saya ingin menggalak belia kita supaya lebih berani dan teroka di luar zon keselesaan, memanfaatkan pelbagai peluang untuk mencuba kursus-kursus baru yang direka untuk memenuhi keperluan ekonomi Singapura," kata Encik Zaqy.

Tambah beliau lagi, sekitaran pekerjaan pasca-COVID memerlukan mereka menjadi lebih tangkas dan pantas menyesuaikan diri.

"Pelajar kita harus memiliki kemahiran yang boleh dipindahkan dan mampu menyesuaikan diri kepada sekitaran pekerjaan baru untuk meningkatkan daya tahan masa depan," nasihat Encik Zaqy.

TERUS SOKONG, DORONG BELIA CAPAI KEMAJUAN

Pada masa yang sama, beliau menggesa masyarakat agar tidak "lupa kepada mereka yang masih memerlukan sokongan dan dorongan".

Justeru, beliau mengajak para belia yang berjaya agar menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi Program Pemerkasaan MENDAKI sebagai seorang pendamping (befriender) atau mentor kepada pelajar.

Selain menyumbang kepada pembentukan masa depan Masyarakat Gemilang, Encik Zaqy berkata: "Pelibatan anda (belia) dalam program-program di bawah naungan M³ dapat menambah nilai keperibadian, kemahiran dan kewarganegaraan anda."

"Saya yakin lebih ramai lagi pelajar kita akan melangkah lebih jauh hingga ke peringkat universiti dan selanjutnya."

Acara diadakan dalam dua sesi di Kelab Masyarakat Fuchun dan turut disokong relawan dari M³@Marsiling-Yew Tee.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan