Bekas remisier DBS Vickers dikenakan perintah larangan 5 tahun
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan hari ini (21 Dis) bahawa ia mengenakan dua perintah larangan ke atas bekas remisier DBS Tey Thean Yang Dennis.
Bangunan Penguasa Kewangan Singapura (MAS). (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan hari ini (21 Dis) bahawa ia mengenakan dua perintah larangan ke atas bekas remisier DBS Tey Thean Yang Dennis.
MAS menyatakan dalam satu kenyataan media bahawa Tey akan dilarang daripada mengurus, bertindak sebagai pengarah atau menjadi pemegang saham yang berpengaruh di apa jua syarikat khidmat modal pasaran di bawah Akta Sekuriti dan Saham Hadapan (SFA) selama lima tahun mulai 21 Disember.
Dia juga dilarang daripada mengurus, bertindak sebagai pengarah atau menjadi pemegang saham yang berpengaruh di syarikat penasihat kewangan di bawah Akta Penasihat Kewangan (FAA) selama lima tahun.
MAS menyatakan bahawa antara 24 Oktober 2012 hingga 8 Januari 2013, Tey menjalankan urus niaga dalam Kontrak untuk Perbezaan (CFD) di mana sekuriti-sekuritinya disenaraikan di Perdagangan Sekuriti Bursa Saham Singapura.
Menyedari bahawa secara umum, harga CFD ditetapkan pada masa nyata berdasarkan harga sekuriti-sekuriti itu, Tey mempengaruhi pasaran itu dengan membuat tempahan-tempahan palsu dalam sekuriti-sekuriti tersebut untuk mengubah harganya buat sementara waktu serta harga CFD-nya.
Dia kemudian menjalankan perdagangan CFD pada harga yang menguntungkannya namun tidak menguntungkan penyedia-penyedia CFD itu, lalu dia memadamkan tempahan-tempahan palsu tersebut.
Menurut MAS, dia meraih untung sejumlah S$30,239 melalui skim tersebut.
Pada 22 Mac, Tey didapati bersalah ke atas lapan tuduhan di bawah SFA.
Dia dijatuhi hukuman penjara 16 minggu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.