Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Beberapa pemilik kedai tidak setuju penjualan 'en bloc' pusat beli-belah Queensway

Beberapa pemilik kedai di Pusat Beli-Belah Queensway menolak usulan menjual secara kolektif atau 'en bloc' bangunan berusia 45 tahun itu. Ini meskipun para penduduk di apartmen kediaman bersebelahan, Queensway Tower tampaknya mengalu-alukan penjualan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Beberapa pemilik kedai tidak setuju penjualan 'en bloc' pusat beli-belah Queensway
Diterbitkan : 01 May 2019 12:17PM Dikemas Kini : 01 May 2019 01:23PM

SINGAPURA: Beberapa pemilik kedai di Pusat Beli-Belah Queensway menolak usulan menjual secara kolektif atau 'en bloc' bangunan berusia 45 tahun itu. Ini meskipun para penduduk di apartmen kediaman bersebelahan, Queensway Tower tampaknya mengalu-alukan penjualan tersebut.

Ini pertama kali projek pembangunan campuran itu - yang terletak di tapak tanah seluas sekitar 100,000 kaki persegi - ditawarkan untuk penjualan, menurut Cik Suzie Mok, pengarah kanan pelaburan ejen pemasaran Savills Singapore, yang mengendalikan penjualan tersebut.

Tapak pegangan bebas yang terkenal dengan penjualan barangan dan baju sukan itu merangkumi 241 unit kedai dan 78 unit kediaman.

Cik Mok enggan mendedahkan harga minimum penjualan tetapi berkata nilai tapak tersebut dianggarkan "lebih S$500 juta".

PEMILIK 50 KEDAI TIDAK SETUJU PENJUALAN

Cik Mok memberitahu Mediacorp pada Selasa (30 Apr) bahawa meskipun Savills "berhati-hati" dalam mendedahkan jumlah pemilik yang bersetuju, sentimen para pemilik berkenaan katanya "memberangsangkan".

Bagaimanapun, beberapa pekedai tidak bersetuju jika ia dijual.

Sekitar 50 kedai, yang "mewakili lebih 20 peratus nilai perkongsian" hartanah, menandatangani bantahan terhadap penjualan, menurut seorang pemilik kedai Cik L C Lim.

Encik Narwant Singh yang memiliki kedai sukan Weston Corporation dan empat unit kedai lain serta anaknya Encik Mandeep Singh yang mempunyai sebuah kedai kasut adalah antara mereka yang tidak bersetuju dengan penjualan itu.

Kata Encik Mandeep: "Queensway memberikan kami pulangan tertinggi di antara kesemua cawangan kami. Queensway sudah membina reputasi baik sejak bertahun-tahun lamanya bagi barangan sukan. Tidak perlu iklan, hanya dari mulut ke mulut."

Pemilik tiga unit kedai Encik Tsia Ven Loong bagaimanapun bersedia untuk mengakhiri perniagaannya di kedai ABC Gifts and Souvenirs Centre.

Beliau yang membuka kedai pertamanya di Pusat Beli-Belah Queensway pada 1975, mendapati jumlah pelanggan merosot.

PENDUDUK TAMPAK SAMBUT BAIK PENJUALAN

Para penduduk di bangunan 13 tingkat Queensway Tower kelihatan menyambut baik idea penjualan kolektif atas sebab usia hartanah itu yang sudah lanjut.

Cik Jessica Wong, yang sudah tinggal di situ selama 37 tahun berkata meskipun tempat itu membawa kenangan, beliau bersedia menjualnya kerana selama ini kerap menghadapi masalah kebocoran di siling unitnya kerana bangunan itu tidak disenggara dengan baik.

CEBISAN SEJARAH

Disenarai oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) sebagai sebahagian daripada Jejak Warisan Queensway, pusat beli belah itu antara kompleks beli-belah pelbagai fungsi yang pertama di Singapura. Ia dibuka pada 1974 dan menawarkan pilihan beli-belah dan riadah bagi penduduk di kawasan Queenstown.

Tangga bergerak awam pertama Singapura juga dipasang di pusat beli-belah itu.

SENTIMEN PASARAN EN BLOC KINI

Rancangan en bloc Pusat Beli-Belah Queensway dikemukakan di tengah-tengah pasaran penjualan kolektif yang hambar. Sebanyak 57 daripada sekurang-kurangnya 61 tender gagal mendapatkan pembeli sejak langkah-langkah meredakan pasaran dikuatkuasa Julai lalu, menurut data dari JLL.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan