Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Bantuan manakah yang pekerja penghantaran mahu dari Pemerintah? Ini jawapan mereka...

Perlindungan insurans kemalangan atau perubatan; bantuan jika perlu cuti sakit; hari rehat atau hari 'off' bergaji; dan juga bantuan insuran kenderaan. Demikian antara jawapan para pekerja penghantaran ketika ditanya apakah yang mereka diinginkan agar kebajikan dan masa depan mereka lebih terjamin.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perlindungan insurans kemalangan atau perubatan; bantuan jika perlu cuti sakit; hari rehat atau hari 'off' bergaji; dan juga bantuan insuran kenderaan.

Demikian antara jawapan para pekerja penghantaran kepada Mediacorp ketika ditanya apakah yang mereka diinginkan agar kebajikan dan masa depan mereka lebih terjamin.

Mereka mengulas pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong Ahad lalu (29 Ogos) bahawa Pemerintah mahu membantu para pekerja penghantaran.

Gambar fail penghantar makanan GrabFood. (Gambar: Jeremy Long)

(Gambar: Jeremy Long)

Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan beliau itu, PM Lee berkata beliau khususnya sangat bimbang mengenai satu golongan pekerja bergaji rendah iaitu pekerja penghantaran. Golongan ini kata beliau kurang perlindungan, iaitu tidak dilindungi kesatuan, tiada CPF majikan dan tiada pampasan jika cedera semasa bekerja.

KESELAMATAN SEMASA BERTUGAS ADALAH KEBIMBANGAN UTAMA

(Gambar: Ruzhael Marwazi)

(Gambar: Ruzhael Marwazi)

Semasa diwawancara pihak kami, Muhd Ruzhael Marwazi, iaitu pekerja penghantaran yang ditonjolkan dalam rapat umum PM Lee, akur bahawa kebimbangan utama ramai pekerja penghantaran adalah jaringan keselamatan semasa bertugas.

"Katakanlah, saya sedang menghantar pesanan dan saya ditimpa kemalangan. Habislah, tiada sebarang perlindungan atau bantuan kerana kita bukan pekerja tetap," kongsi Ruzhael, 20 tahun, yang berkhidmat bersama Grab.

"Pekerja penghantaran disifatkan sebagai pekerja sambilan jadi jika apa-apa terjadi kepada kita, kita perlu menanggungnya sendiri. Ini termasuk semua jagaan kesihatan dan perubatan," tambah belia tersebut.

Sokongan perubatan seperti itu jugalah yang diinginkan seorang lagi pekerja penghantaran bagi syarikat Deliveroo bernama Azlan Baharudin.

(Gambar: Azlan Baharudin)

(Gambar: Azlan Baharudin)

Mentelah lagi, dia merupakan bapa seorang bayi. Azlan bimbang tentang keluarganya seandainya dia ditimpa kemalangan.

"Jika saya terlibat dalam kemalangan, siapa yang akan membayar bil-bil hospital saya dan siapa yang akan menjaga keluarga saya?" ujar Azlan.

Baginya, jika seorang pekerja penghantaran itu ditimpa kemalangan, ia akan langsung menjejas sumber pendapatan. Lantas, pekerja penghantaran berusia 29 tahun itu percaya bahawa bantuan yang paling berguna adalah pembiayaan kos perubatan.

"Tak kisahlah baik di klinik atau di hospital dan kalau mereka boleh mengadakan elaun hilang upaya sekiranya ada penunggang yang jatuh sakit, yang dimasukkan ke hospital, sekurang-kurangnya kami dilindungi secara perubatan," kata Azlan.

Jaringan-jaringan keselamatan lain yang para pekerja penghantaran perlukan semestinya ialah caruman CPF kerana ia berkait langsung dengan keupayaan memiliki rumah.

Pakar-pakar yang ditemui Mediacorp bagaimanapun menyatakan, memberikan sokongan seperti itu kepada para pekerja penghantaran boleh bermakna kos lebih tinggi kepada pengguna dan juga perniagaan.

PM Lee semasa rapat umum tersebut sudahpun berikrar bahawa masalah itu "mesti ditangani".

PEKERJA PENGHANTARAN MENGALU-ALUKAN LANGKAH PEMERINTAH

Bagi para pekerja penghantaran sendiri, langkah pemerintah untuk membantu, memang cukup mereka alu-alukan.

(Gambar: Ruzhael Marwazi)

Kiri: Ruzhael Marwazi. (Gambar: Ruzhael Marwazi)

"Sebelum ini, ramai tidak memandang atau mengambil peduli tentang pekerja penghantaran seperti saya. Tetapi kini dalam keadaan COVID-19 ini, mereka menyanjungi kami sebagai wira dan saya sangat berbesar hati," kata Ruzhael yang mengalu-alukan langkah pemerintah untuk membantu.

"Saya sangat gembira apabila PM Lee mengumumkan semua dasar baru beliau dan bagaimana beliau akan menolong menjaga kebajikan para pekerja bergaji rendah kerana rasanya seperti usaha dan sumbangan kami kepada negara sudahpun diiktiraf."

(Gambar: Azlan Baharudin)

(Gambar: Azlan Baharudin)

Rasa gembira turut disuarakan Azlan yang sudah setahun berkhidmat sebagai pekerja penghantaran, sejak COVID-19 melanda.

"Saya rasa dengan bantuan dan inisiatif sebegini, rayuan dari para pekerja penghantaran ini selama ini tidak disia-siakan," kata Azlan.

"Ia juga menunjukkan bahawa pemerintah tidak mengetepikan kami," tambah beliau lagi.

Yang pasti menurut PM Lee, semakin ramai orang melakukan kerja ekonomi 'gig' seperti itu dan ini suatu masalah yang semakin "membesar".

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sudahpun membentuk sebuah jawatankuasa penasihat untuk tujuan itu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan