Bank M'sia sedia beralih ke perbankan digital
Kajian Backbase yang ditugaskan kepada Forrester Consulting mendapati sebanyak 64 peratus daripada para pembuat keputusan dalam perniagaan perbankan runcit Malaysia menyatakan syarikat mereka sedang meningkatkan perbelanjaan bagi inisiatif-inisiatif kesejahteraan kewangan digital.
KUALA LUMPUR: Kajian Backbase yang ditugaskan kepada Forrester Consulting mendapati sebanyak 64 peratus daripada para pembuat keputusan dalam perniagaan perbankan runcit Malaysia menyatakan syarikat mereka sedang meningkatkan perbelanjaan bagi inisiatif-inisiatif kesejahteraan kewangan digital.
Ini adalah peratusan tertinggi di rantau Asia Pasifik, malah lebih tinggi daripada Singapura, Jepun dan Australia.
Perkembangan ini menyusuli aktiviti permohonan lesen perbankan digital yang ditutup pada Jun lalu.
Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan 5 pemohon yang layak pada suku pertama 2022.
Oleh demikian, sektor perbankan runcit di Malaysia kini sedang membuat persiapan untuk menghadapi persaingan dengan menawarkan pelbagai khidmat digital yang baru buat para pelanggan, lapor Astro Awani.
Naib Presiden Serantau di Asia Pasifik bagi Backbase, Iman Ghodosi berkata, tempoh 6 bulan akan datang merupakan detik kritikal dalam arena perbankan digital.
Katanya lagi, aspek kesegeraan dan fokus adalah jelas, dengan Malaysia akan memiliki 5 bank digital yang bakal mengubah landskap perbankan serta mengambil alih pegangan pasaran pada tahun depan.
"Dalam hal ini, bank-bank konvensional sedang dibelenggu dengan kenyataan ini. Tambahan pula, rakyat Malaysia mahukan kualiti khidmat pelanggan dan kelonggaran yang lebih tinggi bagi perkhidmatan kewangan.
"Bank-bank konvensional mungkin akan kehilangan daya saing jika mereka gagal menginovasi dalam kadar segera,” katanya dalam kenyataannya semalam (6 Okt).
Sementara itu, Ghodosi menyifatkan peluang bagi bank-bank untuk membangunkan khidmat digital masih terbuka dan laporan terkini merungkaikan bahawa warga Malaysia amat memerlukan perkhidmatan seumpamanya.
Sebagai contoh, katanya, 67 peratus pengguna yang ditinjau menyatakan mereka pernah menggunakan aplikasi mudah alih bank mereka, 87 peratus menyatakan mereka menghargai aplikasi mudah alih yang mantap daripada pembekal perkhidmatan kewangan dan 82 peratus menjalankan aktiviti perbankan harian mereka melalui telefon bijak.
"Sektor perbankan runcit di Malaysia sedang menangani permintaan pengguna masa kini dan memastikan bank masih mampu bersaing di pentas digital dengan anggota-anggota yang baru," katanya.
Bagaimanapun, lapor Astro Awani, menurutnya, cabaran yang dihadapi oleh bank-bank Malaysia adalah antara terbesar di rantau Asia Pasifik.
Daripada golongan pembuat keputusan dalam perniagaan perbankan runcit di Malaysia, didapati 74 peratus menyatakan bahawa kekurangan pemahaman mengenai keperluan pelanggan masa kini dan hasil yang ingin dikecapi menjadi halangan untuk syarikat mereka melaksanakan atau melanjutkan lagi pembangunan peranti pengurusan wang digital.
Selain itu, 66 peratus menyatakan teknologi legasi yang sudah ditelan zaman membatasi pelan mereka dan 64 peratus pula berpendapat kewujudan pelbagai cabang organisasi yang terasing menyukarkan lagi keadaan.
"Sektor perbankan di seluruh dunia perlu berdepan dengan cabaran, namun, apa yang menghairankan ialah cabaran yang dihadapi di Malaysia adalah lebih tinggi daripada purata,” tambahnya.
Ghodosi berkata, berdasarkan kajiannya, ia menunjukkan aplikasi pengurusan wang digital titik penting antara institusi dan pelanggan masa kini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.