Skip to main content

Kewangan

Bangunan Tan Boon Liat dijual kepada Kingsford Group pada harga S$950 juta

Anggaran Waktu Membaca:
 Bangunan Tan Boon Liat dijual kepada Kingsford Group pada harga S$950 juta

Bangunan Tan Boon Liat di Outram Road pada 21 Jul 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 21 Jul 2026 04:27PM Dikemas Kini : 21 Jul 2026 04:29PM
SINGAPURA: Bangunan Tan Boon Liat, sebuah hartanah perindustrian pegangan bebas di Outram Road, telah dijual secara berkelompok (en bloc) pada harga S$950 juta kepada anak syarikat Kingsford Group.

Penjualan ini berkemungkinan urus niaga jualan berkelompok terbesar di Singapura setakat tahun ini, menurut ejen pemasaran hartanah, Cushman & Wakefield, pada Selasa (21 Jul).

Pembeli, Kingsford Havelock, mendapatkan bangunan gudang dan bilik pameran setinggi 15 tingkat itu dalam satu perjanjian yang tertakluk kepada kelulusan pemilik.

Tender baharu dibuka selepas lebih 80 peratus pemilik bersetuju untuk menurunkan harga rizab kepada S$1 bilion.

Bangunan itu pertama kali dilancarkan untuk penjualan pada Februari 2025, dengan harga rizab (harga minimum yang diterima oleh penjual untuk sesuatu hartanah dalam lelongan) S$1.15 bilion.

Tapak tersebut, yang merangkumi dua lot tanah berasingan, terkenal sebagai pusat perabot.

Ia terletak di atas Stesen MRT Havelock bagi Laluan Thomson-East Coast, menjadikannya lokasi strategik dengan potensi pembangunan semula yang besar.

Menurut Cushman & Wakefield, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) telah membayangkan bahawa tapak tersebut boleh diubah zon daripada “Perniagaan 1” (Business 1) kepada “Kediaman dengan Komersial di Tingkat 1”.

Cadangan perubahan ini akan meningkatkan nisbah plot daripada 3.1 kepada 4.9, iaitu peningkatan sebanyak 50 peratus dalam luas lantai kasar yang dibenarkan.

Parameter perancangan menunjukkan bahawa tapak ini boleh menampung pembangunan sehingga 48 tingkat, berkemungkinan terdiri daripada menara kembar.

"Dengan mengubah sebuah bangunan perindustrian yang lama menjadi peluang kediaman yang menarik, kami telah membuka nilai yang besar bagi pihak berkepentingan, seterusnya menghasilkan peningkatan nilai tapak yang luar biasa," kata Cik Christina Sim, Pengarah Kanan Pasaran Modal (Singapura) di Cushman & Wakefield.

"Pegangan bebas tapak ini, ditambah pula dengan fakta bahawa penjualan ini tidak dikenakan sebarang ABSD (duti setem pembeli tambahan) disebabkan zon 'Perniagaan 1', juga menjadi faktor penentu (game changer)," tambah beliau.

Penjualan tersebut tertakluk kepada kelulusan daripada Lembaga Hak Milik Strata (Strata Titles Board). Ia juga tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat tertentu dan kelulusan pemilik.

Encik Ashok Melwani, pengerusi Jawatankuasa Jualan En Bloc, berkata para pemilik akan diberi taklimat dalam mesyuarat agung luar biasa yang akan datang bagi mendapatkan mandat dan sokongan daripada majoriti pihak berkepentingan.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita