Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Bangladesh mahu tambah simpanan beras; import dari Vietnam & India

Bangladesh sedang memuktamadkan perjanjian dengan Vietnam dan India untuk mengimport 330,000 tan beras. Ini sedang negara itu mengejar masa untuk menambah lagi simpanan berasnya dan meredakan harga domestik, menurut dua pegawai, yang mempunyai maklumat langsung mengenai perkara itu, pada Isnin (29 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Bangladesh mahu tambah simpanan beras; import dari Vietnam & India

Para petani di sawah padi di Hanoi pada 1 Julai 2020. (Gambar: Nhac NGUYEN / AFP)

Diterbitkan : 29 Aug 2022 10:48PM Dikemas Kini : 29 Aug 2022 10:48PM
DHAKA: Bangladesh sedang memuktamadkan perjanjian dengan Vietnam dan India untuk mengimport 330,000 tan beras. Ini sedang negara itu mengejar masa untuk menambah lagi simpanan berasnya dan meredakan harga domestik, menurut dua pegawai, yang mempunyai maklumat langsung mengenai perkara itu, pada Isnin (29 Ogos).

Harga yang melambung tinggi bagi bijirin ruji negara dengan 165 juta penduduk itu menimbulkan masalah buat pemerintahnya, yang merancang untuk meluaskan penjualan beras pada harga potongan demi membantu golongan yang terjejas teruk oleh kos tinggi.

Negara Asia Tenggara itu akan membeli 100,000 tan beras separa rebus dari sebuah firma sektor awam India. Ia juga akan membeli 200,000 tan beras separa rebus dan 30,000 tan beras putih dari Vietnam, menurut para pegawai pemerintah.

Harga bagi beras separa rebus dari Vietnam akan berjumlah AS$521 (S$726) bagi setiap tan manakala beras putih pula berharga AS$494 (S$690) untuk setiap tan, kata para pegawai, yang meminta identiti mereka tidak didedahkan memandangkan perjanjian tersebut belum lagi diumumkan.

Harga beras dari negara jiran India adalah AS$443.50 (S$618) bagi setiap tan melalui pelabuhan laut dan AS$428.50 (S$597) untuk setiap tan menerusi penghantaran kereta api, tambah mereka. Semua harga itu termasuk kos pengangkutan, insurans dan kos memunggah.

"Persiapan sedang diaturkan untuk memetarai perjanjian itu tidak lama lagi," kata seorang pegawai berkenaan, sambil menambah bahawa beras akan dihantar dalam tempoh dua hingga tiga bulan selepas pemeteraian perjanjian itu.

Pemerintah Bangladesh juga sedang mengadakan perbincangan dengan Myanmar untuk mengimport beras, menurut para pegawai itu lagi, sedang kedua-dua negara mengetepikan pergeseran berhubung krisis pelarian Rohingya.

Pemerintah akan mula menjual beras pada harga lebih murah bagi lima juta keluarga miskin dan memperluaskan penjualan sedemikian bermula September ini, dalam usaha untuk membendung lonjakan harga domestik.

Bangladesh, yang pada dasarnya merupakan pengeluar beras ketiga terbesar di dunia - dengan sekitar 35 juta tan setiap tahun, menggunakan hampir kesemua hasil tuaiannya untuk memberi makan kepada penduduknya. Sekalipun demikian, ia seringkali perlu mengimport beras untuk menangani kekurangan bekalan dek banjir atau kemarau.
Sumber : Reuters/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa