Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Bagaimana untuk dapatkan kadar tukaran mata wang asing paling berbaloi?

Anggaran Waktu Membaca:
Bagaimana untuk dapatkan kadar tukaran mata wang asing paling berbaloi?

Seorang pekerja mengira wang di salah sebuah pengurup wang di Raffles Place pada 6 Okt 2022. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Dengan cuti sekolah hujung tahun bakal menjelang, pasti ramai yang ingin menukar wang ke mata wang asing sebagai persiapan sebelum melancong ke luar negara.

Berikut adalah tempat-tempat yang diusulkan oleh laman Changi Recommends untuk menukar wang dan juga panduan tentang bagaimana untuk menilai sama ada anda berhasil mendapatkan kadar pertukaran mata wang yang terbaik.

DI MANA UNTUK TUKAR WANG?

Pengurup wang:
Ada banyak kedai pengurup wang di merata Singapura, dan lazimnya kedai-kedai itu menawarkan kadar pertukaran yang berpatutan. Pastikan anda membanding-bandingkan kadar pertukaran dari kedai ke kedai pengurup wang sebelum menukar wang kerana sesetengah kedai mungkin mengenakan komisen lebih tinggi.

Berikut adalah tempat-tempat yang popular dalam kalangan pengguna di Singapura:

- The Arcade di Raffles Place
- Mustafa Centre di Little India
- People's Park Complex di Chinatown
- Lucky Plaza di Orchard Road

Terdapat beberapa pengurup wang yang terletak dalam kawasan yang sama seperti The Arcade di Raffles Place.

Jika berkesempatan, anda boleh meluangkan masa untuk membuat perbandingan antara pengurup wang yang lazimnya menawarkan kadar tukaran yang sangat berpatutan.

Anda juga perlu mengambil kira bayaran komisen yang dikenakan, lebih-lebih lagi jika anda menukar jumlah wang yang besar.

Bank-Bank: Anda juga boleh menukar wang di bank. Anda boleh berbuat demikian lebih-lebih lagi jika anda ingin menukar jumlah wang yang banyak kerana kadar pertukaran yang ditawarkan akan menjadi lebih berbaloi.

Namun anda mungkin perlu beratur panjang sekiranya ingin menukar wang di bank. Lantaran itu, anda perlu merancang lebih awal.

Lapangan Terbang Changi: Jika anda tidak berkesempatan untuk melanggani kedai pengurup wang atau bank, anda mungkin boleh memanfaatkan kemudahan di Lapangan Terbang Changi sebelum berlepas ke destinasi tujuan anda.

Ada sebilangan kios dan kaunter yang menawarkan khidmat menukar wang ke mata wang asing. Kadar pertukaran lazimnya berpatutan dan pelbagai mata wang ditawarkan. Namun, anda perlu maklum tentang bayaran kecil bagi komisen yang dikenakan bagi setiap urus niaga.

Anda juga boleh memanfaatkan khidmat 'klik dan ambil' yang ditawarkan melalui laman Changi Recommends FX.

Anda boleh menempah mata wang asing pada bila-bila masa dan mengambil wang yang ditempah di kaunter Changi Recommends sebelum menaiki pesawat.

Kad Kredit: Akhir sekali, anda boleh menggunakan kad kredit untuk mendapatkan wang pendahuluan atau membeli barangan di luar negara. Ini merupakan pilihan yang sesuai jika kad anda tidak mengenakan yuran bagi urus niaga di luar negara. Namun, kadar pertukaran bagi kad kredit tidak begitu berpatutan jika dibandingkan dengan kaedah-kaedah lain.

APA YANG PATUT ANDA PERHATIKAN?

Perhatikan perbezaan kadar jual beli kerana ia akan menjejas kos keseluruhan.

Jika anda melakukan perjalanan ke luar negara, perhatikan kadar 'jual' untuk melihat berapa banyak wang yang anda akan dapat kembali apabila ditukar semula kepada mata wang Singapura. Ia adalah kadar yang akan ditawarkan oleh pengurup wang apabila anda menukar kepada mata wang asing.

Sebaliknya, jika anda ingin menjual mata wang asing untuk mendapatkan dolar Singapura, anda perlu meneliti kadar 'beli', iaitu kadar yang digunakan oleh pengurup wang untuk membeli mata wang asing dari anda.

Perbezaan antara kedua-dua kadar itu dikenali sebagai 'spread' dan di sinilah para pengurup wang dapat mengaup keuntungan.

Secara amnya, lagi besar 'spread' atau perbezaan antara kadar jual beli, maka lebih merugikan bagi anda. Lantaran itu, luangkanlah masa untuk membuat perbandingan.

Pastikan pengurup wang mempunyai lesen Penguasa Kewangan Singapura (MAS). Anda boleh meneliti nombor lesen yang dipaparkan di kedai masing-masing.
Sumber : Agensi berita/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan