Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Aviva beri jaminan pelanggan, operasi S’pura tidak terjejas dengan penyusunan semula

Sedang penyedia khidmat insurans Aviva menjalani penyusunan semula global yang akan mengakibatkan kehilangan 1,800 pekerjaan secara bertahap-tahap dalam tiga tahun akan datang, kakitangan dan operasinya di Singapura besar kemungkinan tidak akan terjejas.

Anggaran Waktu Membaca:
Aviva beri jaminan pelanggan, operasi S’pura tidak terjejas dengan penyusunan semula

Gambar fail: Reuters

Diterbitkan : 13 Jun 2019 09:42AM Dikemas Kini : 13 Jun 2019 10:08AM

SINGAPURA: Sedang penyedia khidmat insurans Aviva menjalani penyusunan semula global yang akan mengakibatkan kehilangan 1,800 pekerjaan secara bertahap-tahap dalam tiga tahun akan datang, kakitangan dan operasinya di Singapura besar kemungkinan tidak akan terjejas.

Para pemegang polisi Aviva tidak perlu khuatir kerana perniagaan dan operasi syarikat itu di Singapura tidak akan terjejas oleh penyusunan semula tersebut, menurut seorang jurucakap syarikat itu, di tengah-tengah keprihatinan sesetengah pelanggan Singapura sama ada polisi insurans mereka akan terjejas.

Jurucakap itu berkata: "Bagi Aviva Singapura, perniagaan berjalan seperti biasa. Tiada kesan terhadap para pemegang polisi insurans."

Aviva - syarikat insurans terbesar di Britain - adalah penyedia khidmat insurans rasmi bagi Kementerian Pertahanan dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri.

Kesemua anggota perkhidmatan negara dilindungi di bawah Skim Insurans MINDEF/MHA secara automatik dan percuma, sementara para anggota kerahan juga boleh memilih untuk menyertai skim insurans serupa dengan bayaran premium.

Penyusunan semula tenaga kerja global tersebut adalah sebahagian daripada strategi ketua eksekutif baru kumpulan itu, Maurice Tulloch, untuk menjimatkan kos £300 juta (S$521 juta) dan mencergaskan perniagaan syarikat itu yang merosot. Encik Tulloch mengambil alih jawatan itu pada Mac.

Aviva menggajikan 825 kakitangan sepenuh masa di Singapura, dan juga 400 pekerja dalam entiti-entiti miliknya di negara ini, kata jurucakap tersebut.

Syarikat insurans itu mempunyai 30,00 pekerja di merata dunia, termasuk di Kanada dan Perancis.

Apabila ditanya mengenai kesan penyusunan semula itu terhadap kakitangan Singapura, jurucakap itu berkata: "Penghematan pekerjaan akan berlaku di merata dunia dalam tiga tahun akan datang. Setakat ini, terlalu awal untuk memberikan butiran lanjut, tetapi Aviva sudah menyatakan dengan jelas bahawa saiz ibu pejabatnya perlu dikurangkan."

Penjimatan itu akan dicapai melalui pemberhentian pekerja secara semula jadi dan mengurangkan tawaran kerja, kata jurucakap itu.

Perniagaan teras kumpulan itu di Britain juga akan dibahagikan kepada dua, iaitu bahagian insurans umum dan insurans hayat.

Harga saham Aviva merosot lebih 20 peratus sejak lima tahun kebelakangan ini di bawah kepimpinan mantan ketua eksekutif Mark Wilson.

Perniagaan Aviva di Asia masih mencatatkan prestasi baik meskipun perniagaan kumpulan itu di negara-negara lain merosot.

Di Singapura, Aviva mencatatkan keuntungan operasi sebanyak 14 peratus pada tahun kewangan lalu, dan ia meluaskan rangkaian penjualannya kepada 1,540 penasihat pada 2018, berbanding 1,266 pada tahun sebelumnya. 

Sumber : Today/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan