Aset di bawah pengurusan S'pura naik 19% kepada S$3.3 trilion
2017 merupakan tahun yang baik bagi industri pengurusan aset sejagat. Demikian menurut laporan baru yang dikeluarkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Bangunan Penguasa Kewangan Singapura (MAS). (Gambar: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: 2017 merupakan tahun yang baik bagi industri pengurusan aset sejagat. Demikian menurut laporan baru yang dikeluarkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Aset sejagat di bawah pengurusan meningkat 12 peratus kepada $79.2 trilion berbanding pertumbuhan 7 peratus pada tahun 2016.
Prestasi itu adalah hasil daripada aliran aset bersih yang lebih tinggi serta keuntungan daripada penilaian.
Keuntungan itu turut dicatat oleh industri pengurusan aset Singapura yang menikmati pertumbuhan kukuh pada tahun lalu.
Keseluruhan aset yang dikelola para pengurus aset yang berpangkalan di Singapura meningkat 19 peratus dan mencecah $3.3 trilion, melebihi kadar pertumbuhan purata 15 peratus sepanjang lima tahun lalu.
Pertumbuhan dicatat secara meluas dari aset tradisional sehinggalah ke aset alternatif.
Aset tradisional yang diuruskan naik 20 peratus sedang para pengurus aset sejagat terus menempatkan pangkalan operasi mereka di Singapura, seperti AIA yang sudah menubuhkan hab pelaburan serantau pertamanya di sini.
Bagi sektor alternatif pula, kenaikan 17 peratus yang dicatat dirangsang oleh ekuiti swasta serta pengurus dana lindung nilai.
Pada tahun lalu, 78 peratus aset yang diuruskan datang dari luar Singapura, sejajar dengan trend tahun sebelumnya.
Rantau Asia-Pasifik terus menjadi destinasi pelaburan penting bagi para pengurus aset yang berpangkalan di Singapura.
Daripada 67 peratus dana yang dilaburkan di rantau ini, 17 peratus dilaburkan di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.