Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

ASEAN fokus cergaskan semula pertumbuhan ekonomi serantau

Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-53 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan berakhir dengan kata sepakat positif untuk merancakkan semula pertumbuhan ekonomi serantau dan pentingnya pemuafakatan dan komitmen ASEAN untuk bekerjasama serta keluar daripada krisis COVID-19 dengan jayanya.

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-53 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan berakhir dengan kata sepakat positif untuk merancakkan semula pertumbuhan ekonomi serantau dan pentingnya pemuafakatan dan komitmen ASEAN untuk bekerjasama serta keluar daripada krisis COVID-19 dengan jayanya.

Bagi mencergaskan kembali ekonomi serantau, perbincangan mengenai status pelaksanaan di bawah Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) menjadi tumpuan utama, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan media hari ini (11 Sep).

Antara inisiatif utama di bawah ACRF yang selesai adalah pemeteraian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP), memuktamadkan kajian komprehensif Rangka Kerja Integrasi Digital ASEAN dan Pelan Tindakan Rangka Kerja Integrasi Digital ASEAN (DIFAP) 2019 hingga 2025, katanya di akhir mesyuarat yang diadakan secara maya pada 8 hingga 9 Sep.

Menteri Kanan merangkap Menteri MITI Mohamed Azmin Ali mengetuai delegasi Malaysia di Mesyuarat AEM yang dihoskan oleh Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN 2021.

Di mesyuarat berkenaan, Encik Azmin menekankan pentingnya pemuafakatan ASEAN dan perlunya untuk terus bekerja dengan tekad yang lebih besar untuk mengatasi cabaran yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19 agar rantau ini dapat bangkit lebih kukuh dan lebih berdaya tahan.

Beliau turut menyuarakan betapa mustahaknya untuk mempercepatkan pelaksanaan semua inisiatif di bawah ACRF bagi memudahkan pembukaan semula ekonomi dan seterusnya memacu pemulihan serantau.

Mesyuarat AEM juga mengalu-alukan pemuktamadan Pelan Hala Tuju Bandar Seri Begawan: Agenda Transformasi Digital ASEAN untuk Memacu Pemulihan Ekonomi dan Penyepaduan Ekonomi Digital ASEAN yang akan menyediakan rancangan yang fokus untuk ASEAN mengembangkan persekitaran yang mantap bagi Ekonomi Digital ASEAN selain memastikan rantau ini dapat bangkit lebih kukuh daripada kemelut pandemik.

Dalam menyokong pelan hala tuju dan menggesa agar pelaksanaannya berjalan lancar, Encik Azmin berkata sudah tiba masanya untuk menangani keperluan segera dan jangka pendek bagi transformasi digital di rantau ini.

Justeru, beliau mengulangi komitmen Malaysia untuk memasukkan elemen ekonomi digital yang komprehensif dalam pengaturan dan kerjasama perdagangan antarabangsa bagi mewujudkan persekitaran perdagangan digital yang lebih stabil, berisiko rendah dan mengurangkan kos pematuhan.

Inisiatif itu melengkapkan MyDIGITAL Malaysia yang menggariskan strategi untuk mendorong pertumbuhan ekonomi digital dan merapatkan jurang digital selain mengubah negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu secara digital dan teknologi.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan