Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Arab Saudi tuan rumah rundingan G20 tentang pemulihan selepas COVID-19

Para menteri kewangan dan pegawai bank pusat negara-negara anggota G20 dijadual mengadakan rundingan pada Sabtu (18 Jul) untuk merangsang pemulihan ekonomi sejagat daripada kemelesetan yang dicetuskan oleh COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi tuan rumah rundingan G20 tentang pemulihan selepas COVID-19

Gambar fail Menteri Kwangan Arab Saudi Mohammed Al-Jadaan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 18 Jul 2020 03:02PM Dikemas Kini : 18 Jul 2020 03:11PM

RIYADH: Para menteri kewangan dan pegawai bank pusat negara-negara anggota G20 dijadual akan mengadakan rundingan pada Sabtu (18 Jul) bertujuan untuk merangsang pemulihan ekonomi sejagat daripada kemelesetan yang dicetuskan oleh COVID-19, di tengah-tengah gesaan semakin kuat untuk meluaskan pelepasan hutang bagi negara-negara miskin yang dilanda krisis.

Arab Saudi merupakan tuan rumah bagi sidang maya itu,yang diadakan sedang pandemik itu terus menjejas ekonomi sejagat dan para jurukampen memberi amaran mengenai krisis hutang yang bakal melanda negara-negara membangun yang dilanda kemiskinan.

Para menteri dan pegawai bank akan "membincangkan ramalan ekonomi sejagat dan menyelaraskan tindakan menyeluruh untuk pemulihan ekonomi global yang kukuh dan berdaya tahan," kata para penganjur G20 di Riyadh dalam satu kenyataan.

Kristalina Georgieva, pengarah urusan Tabung Kewangan Antarabangsa, memberi amaran bahawa walaupun terdapat beberapa tanda pemulihan, ekonomi sejagat menghadapi cabaran berterusan, termasuk kemungkinan gelombang kedua COVID-19.

"Kami belum terlepas daripada bahaya," kata Cik Georgieva dalam satu pesanan kepada para menteri kewangan G20, sambil memberi amaran bahawa pandemik itu mungkin akan meningkatkan kemiskinan dan ketidaksamaan.

Rangsangan bernilai AS$11 trilion yang ditawarkan oleh negara-negara G20 telah membantu mencegah akibat lebih buruk, tetapi "jaringan keselamatan ini mesti dikekalkan selagi perlu dan, dalam beberapa kes, diperluaskan," kata Cik Georgieva.

'BENCANA AKAN DATANG'

Pada April, negara-negara G20 mengumumkan penggantungan hutang selama setahun untuk negara-negara termiskin di dunia.

Para penyokong kempen mengecam tindakan itu sebagai sangat tidak memadai untuk mencegah kesan pandemik.

Perancis menyatakan pada Jumaat bahawa pihaknya akan meminta G20 untuk melanjutkan penangguhan bayaran hutang.

Sejauh ini, 41 daripada 73 negara termiskin di dunia telah memohon bagi penangguhan bayaran hutang G20, menjimatkan mereka hingga AS$9 bilion tahun ini, menurut badan-badan amal Oxfam, Christian Aid dan Global Justice Now.

Namun 73 negara itu masih perlu melunaskan pembayaran hutang sehingga $33.7 bilion hingga akhir tahun ini, kata badan-badan amal itu dalam laporan penyelidikan yang dikeluarkan pada Khamis.

"Ekonomi global terjejas lebih teruk oleh virus korona daripada jangkaan yang kami lihat pada April - para menteri kewangan G20 mempunyai mandat untuk mencegah malapetaka akan datang, bagi ratusan juta orang," kata Chema Vera, pengarah eksekutif sementara Oxfam.

Amnesty International juga menyeru negara-negara G20 untuk "membatalkan hutang yang perlu dibayar oleh negara-negara termiskin untuk sekurang-kurangnya dua tahun akan datang".

"COVID-19 telah mendedahkan ketidaksamaan yang jelas di dunia kita," kata Julie Verhaar, pemangku setiausaha agung Amnesty.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan