Apple tukar ketua runcit; cuba cergaskan penjualan
Seorang ketua runcit baru akan mula bertugas di Apple pada April ini sedang syarikat pembuat iPhone itu berusaha untuk merancakkan penjualan dalam pasaran telefon bijak, terutamanya di China.

(Gambar hiasan: Aly Song/Reuters)
SAN FRANCISCO: Seorang ketua runcit baru akan mula bertugas di Apple pada April ini sedang syarikat pembuat iPhone itu berusaha untuk merancakkan penjualan dalam pasaran telefon bijak, terutamanya di China.
Angela Ahrendts akan meninggalkan Apple pada April "untuk memburu minat peribadi dan profesional baru", dengan tugasnya diambil alih oleh Naib Presiden Kanan Runcit dan Pelanggan Deirde O'Brien yang akan melapor kepada Ketua Eksekutif Tim Cook, menurut syarikat itu dalam satu catatan online.
Apple melantik Cik Ahrendts, yang pada masa itu memegang jawatan sebagai eksekutif kanan Burberry, pada lewat 2013.
Apple mengendalikan 35 kedai online dan 506 kedai runcit di lima benua, dengan menggajikan sekitar 70,000 kakitangan runcit.
Cik O'Brien sudah berkhidmat selama 30 tahun di Apple, menurut syarikat teknologi yang berpangkalan di Cupertino itu.
"Beliau seorang pemimpin yang sungguh cemerlang dan adalah rakan penting bagi pasukan-pasukan runcit kami di seluruh dunia sejak awal lagi," kata Encik Cook mengenai pelantikan Cik O'Brien.
Pengunduran Cik Ahrendts adalah sesuatu yang mengejutkan memandangkan beliau adalah seorang pegawai kanan Apple dan dijangka akan mengambil alih jawatan Encik Cook sebagai ketua eksekutif, menurut Daniel Ives, seorang penganalisis Wedbush.
Apple kini berdepan dengan masa-masa genting kerana ia perlu menjana permintaan "dari segi runcit" terutamanya di China, kata Encik Ives dalam maklumannya kepada para pelabur.
Hasil keuntungan Apple tetap stabil dalam suku yang lalu, dengan hasil pendapatan bagi muzik, filem, aplikasi dan khidmat lain meningkat, sekaligus mengimbangi penjualan iPhone yang merosot 15 peratus sepanjang tempoh yang sama pada 2017.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.