Skip to main content

Kewangan

Apple kurangkan peruntukan penggunaan AI pekerja bagi kawal kos operasi

Syarikat teknologi Apple mengurangkan peruntukan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi sebahagian pekerjanya dalam usaha mengawal kos operasi, meskipun syarikat itu sedang memperluas penggunaan teknologi tersebut dalam kegiatan perniagaannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Apple kurangkan peruntukan penggunaan AI pekerja bagi kawal kos operasi

Gambar ilustrasi logo Apple yang dihasilkan pada 25 Ogos 2025. (Gambar fail: REUTERS/Dado Ruvic/Illustration)

Diterbitkan : 05 Nov 2026 06:40AM
Apple cuts employees’ AI usage allowances to control operating costs
  • Apple reduced the daily AI token spending limit for some engineers from US$300 to US$200 last month, as the company continued to expand its use of AI across its business.
  • Bloomberg News reported on Nov 4 that some engineering teams may receive a daily limit of US$100, while non-engineering employees already subject to the limit may have theirs reduced to US$25.
  • Employees who need broader access can apply to senior executives for an exemption, while the cost-saving measure aims to control Apple’s AI operating costs.
  • The changes reflect broader scrutiny of costs across the industry. Goldman Sachs has also restricted some AI coding tools after assessing productivity and risks, while Apple has not commented to Reuters.
Dijana oleh AI

SAN FRANCISCO: Syarikat teknologi Apple mengurangkan peruntukan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi sebahagian pekerjanya dalam usaha mengawal kos operasi, meskipun syarikat itu sedang memperluas penggunaan teknologi tersebut dalam kegiatan perniagaannya.

Bloomberg News melaporkan pada Rabu (4 Nov), dengan memetik sumber yang mengetahui perkara itu, bahawa Apple mengurangkan had perbelanjaan harian penggunaan AI bagi sebahagian juruteranya daripada AS$300 (S$390) kepada AS$200 (S$260) pada bulan lalu.

Syarikat itu juga sedang mempertimbangkan pemotongan lanjut bagi beberapa pasukan kejuruteraan, yang mungkin menyaksikan had perbelanjaan harian diturunkan kepada AS$100 (S$130).

HAD PERBELANJAAN AI MUNGKIN DIKURANGKAN LAGI

Menurut laporan tersebut, beberapa kumpulan pekerja bukan dalam bidang kejuruteraan sudah tertakluk kepada had perbelanjaan harian sebanyak AS$100 (S$130).

Had itu mungkin dikurangkan lagi kepada serendah AS$25 (S$33) sehari.

Bagaimanapun, pekerja yang memerlukan akses lebih luas kepada peralatan AI boleh memohon pengecualian daripada pegawai kanan syarikat.

Peruntukan tersebut meliputi penggunaan 'token' AI, iaitu unit data yang diproses oleh model AI seperti ChatGPT oleh OpenAI, Claude oleh Anthropic dan Gemini oleh Google.

SYARIKAT TEKNOLOGI PERKETAT KAWALAN KOS AI

Langkah Apple mencerminkan trend lebih luas dalam kalangan syarikat teknologi yang kini meneliti semula perbelanjaan berkaitan AI, selepas sebelum ini menggalakkan penggunaan teknologi tersebut secara meluas.

Bloomberg sebelum ini turut melaporkan bahawa Goldman Sachs mengehadkan akses kepada beberapa peralatan AI untuk pengekodan selepas menjalankan penilaian terhadap daya penghasilan dan pengurusan risiko.

Apple belum memberikan maklum balas segera terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan ulasan mengenai laporan tersebut.

Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita