Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Aplikasi 'cari jodoh' Muzmatch cabar dakwaan langgar tanda dagang oleh firma pemilik Tinder

Syarikat gergasi Match Group, yang memiliki lebih 50 khidmat 'cari jodoh' termasuk aplikasi Tinder, Hinge dan OKCupid, mendakwa aplikasi versi Muslim, iaitu Muzmatch "cuba menumpang kejayaan" tanda dagangnya yang berdaftar melalui penggunaan perkataan "match".

Anggaran Waktu Membaca:
Aplikasi 'cari jodoh' Muzmatch cabar dakwaan langgar tanda dagang oleh firma pemilik Tinder

Syarikat gergasi Match Group mendakwa aplikasi versi Muslim, iaitu Muzmatch "cuba menumpang kejayaan" tanda dagangnya yang berdaftar melalui penggunaan perkataan "match". (Gambar: Muzmatch/Facebook)

Diterbitkan : 11 Jan 2022 11:51PM Dikemas Kini : 12 Jan 2022 12:09AM

UNITED KINGDOM: Pengasas aplikasi 'cari jodoh' Muslim terbesar di dunia, iaitu Muzmatch, berikrar akan mempertahankan syarikatnya yang berdepan tuntutan mahkamah oleh syarikat Match Group berhubung pelanggaran tanda dagang.

Syarikat gergasi Match Group, yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan memiliki lebih 50 khidmat 'cari jodoh' termasuk aplikasi Tinder, Hinge dan OKCupid, mendakwa Muzmatch "cuba menumpang kejayaan" tanda dagangnya yang berdaftar melalui penggunaan perkataan "match".

Dalam pemfailan tuntutan mahkamah, Match Group menyatakan “Muzmatch berusaha untuk meniru fungsi aplikasi Tinder, meraih manfaat dari nama, jenama dan rupa dan ciri Match secara umum, memenuhi jangkaan pengguna yang dicipta oleh Match dan membangunkan perniagaan sepenuhnya berdasarkan klon Tinder, yang hanya dibezakan oleh strategi pemasaran khusus bagi budaya Muslim Muzmatch.”

Muzmatch bagaimanapun menolak dakwaan tersebut sambil menyatakan Match Group tidak menguasai perkataan 'match'.

Menulis di Twitter pada 6 Januari, Pengasas Muzmatch Shahzad Younas berikrar untuk melawan tindakan undang-undang tersebut dan mengesahkan komitmennya terhadap jenama itu.

“Kalau kami kalah? Kami akan dipaksa untuk menukar nama jenama kami dan nama muzmatch akan terhapus. Kami mungkin perlu membayar ganti rugi. Kami berjuang, kerana kami mesti melakukannya.

"Adalah penting bahawa produk yang dibina untuk masyarakat kami dibina oleh komuniti kami dan kami tidak membenarkan diri kami ditentukan dan dikawal oleh orang lain. Misi kami adalah untuk mengubah cara orang Islam bertemu dan berkahwin,” tulis Younas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman rasmi Muzmatch, kedua-dua syarikat itu bakal bertemu di Mahkamah Harta Intelek dan Perusahaan (IPEC) di London pada 17 atau 18 Januari.

Menurut laporan The New Arab, tindakan undang-undang Match Group menyusuli percubaan berbilang kali oleh firma itu untuk memperoleh Muzmatch. Syarikat gergasi itu pertama kali membentangkan tawaran pada 2017 dan tawaran terakhir mereka sebanyak AS$35 juta (S$47.3 juta) ditolak Encik Shahzad pada Januari 2019.

Match Group kemudian mengambil alih aplikasi mencari jodoh dari Mesir yang dipanggil Harmonica. Ia sudah melalui penjenamaan semula sebagai Hawaya dan merupakan pesaing langsung Muzmatch.

Menurut laporan The National News, Muzmatch yang berpangkalan di UK, mempunyai lima juta ahli pada tahun 2021 dan kini mempunyai 60 kakitangan, dengan 150,000 orang di seluruh dunia berjaya bertemu jodoh mereka menerusi khidmat itu.

Encik Shahzad merupakan bekas peniaga jualan algoritma di Morgan Stanley, yang menubuhkan syarikat itu di bilik tidurnya sendiri. Beliau berhenti kerja pada 2014 untuk membangunkan aplikasi sepenuh masa dan syarikat beliau kini beroperasi di hampir setiap negara di dunia dan dalam 15 bahasa.

Sementara itu, Match Group, yang menggajikan 2,000 orang di seluruh dunia, mempunyai modal pasaran kira-kira AS$37 bilion (S$50 bilion).

"Nilai kami hanya sebahagian kecil daripada itu," kata Encik Shahzad. “Dan kami sudah menghabiskan sejumlah wang untuk semua ini. Ia satu pembaziran masa, wang dan tenaga, terutamanya untuk syarikat pemula yang cuba pergi sejauh yang kami boleh dengan sumber yang agak terhad.”

Sumber : Sumber Web/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan