Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Apa yang berlaku jika platform pelaburan berlesen di SG gagal?

Apabila syarikat khidmat kewangan Singapura, Chocolate Finance, menggantung pengeluaran segera awal minggu ini, beberapa pelanggan bimbang tentang keselamatan dana mereka dan apa yang akan berlaku jika syarikat itu gagal.

Anggaran Waktu Membaca:
Apa yang berlaku jika platform pelaburan berlesen di SG gagal?

Logo Penguasa Kewangan Singapura (MAS) di bangunannya. (Gambar fail: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 14 Mar 2025 12:49PM Dikemas Kini : 14 Mar 2025 12:50PM
SINGAPURA: Apabila syarikat khidmat kewangan Singapura, Chocolate Finance, menggantung pengeluaran segera awal minggu ini, beberapa pelanggan bimbang tentang keselamatan dana mereka dan apa yang akan berlaku jika syarikat itu gagal.

Di ruang forum online dan media sosial, para pengguna menarik perhatian bahawa – berbeza dengan deposit bank – wang yang diletakkan ke dalam platform pelaburan sedemikian tidak dilindungi Skim Insurans Deposit Perbadanan Insurans Deposit Singapura (SDIC).

Skim SDIC melindungi deposit dalam mata wang dolar Singapura sehingga S$100,000 bagi setiap pelanggan yang disimpan di bank penuh atau syarikat kewangan di Singapura. Deposit dalam mata wang asing dan produk pelaburan seperti yang ditawarkan Chocolate Finance, tidak dilindungi.

Chocolate Finance, yang diberi lesen oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS), menyatakan bahawa dana pelanggan adalah selamat dan disimpan secara berasingan oleh penjaga (custodian).

Ia juga menambah bahawa adalah perkara biasa dan selaras dengan piawaian industri bagi pengeluaran untuk mengambil masa beberapa hari, terutamanya bagi model pengurusan dana seperti yang diamalkan Chocolate Finance.

APAKAH SYARAT-SYARAT YANG DIKENAKAN PLATFORM PELABURAN?

Mana-mana syarikat yang ingin menguruskan dana perlu mendapatkan lesen perkhidmatan pasaran modal daripada pengawal selia MAS, kerana pengurusan dana adalah "aktiviti yang dikawal selia" di bawah Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan 2001.

MAS menimbangkan faktor-faktor seperti kesesuaian, rekod prestasi, dan kepakaran pengurusan pemohon, serta rancangan perniagaan dan anggaran potensi masa hadapan.

Syarikat juga perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua pengarah, dengan salah seorang daripadanya merupakan penduduk Singapura. Ketua pegawai eksekutif syarikat pula perlu memiliki sekurang-kurangnya 10 tahun pengalaman berkaitan dan juga seorang penduduk Singapura.

Dua individu sepenuh masa yang berpusat di Singapura juga perlu dilantik untuk setiap aktiviti yang dikawal selia yang ingin dijalankan syarikat tersebut.

SYARIKAT MANA YANG DIKAWAL SELIA?

Kebanyakan platform pelaburan terkemuka di Singapura dikawal selia. Ini termasuk syarikat seperti Endowus, StashAway dan Chocolate Finance.

Direktori Institusi Kewangan boleh digunakan untuk mengetahui sama ada sesebuah syarikat dikawal selia atau dilesenkan MAS. Namun, keperluan mendapatkan lesen bergantung kepada model perniagaan syarikat.

MAS juga menyelenggara Senarai Amaran Pelabur. Ia tidak menyeluruh, tetapi merangkumi syarikat dan individu yang mungkin disalah anggap sebagai berlesen, disahkan atau dikawal selia.

APA MAKNA BERLESEN?

Syarikat yang dilesenkan MAS lazimnya berada dalam keadaan kewangan yang lebih baik, kata Profesor Sumit Agarwal dari sekolah perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS).

Mereka juga kurang berkemungkinan untuk gagal, dan pengguna tidak perlu terlalu risau sekiranya syarikat tersebut gagal, tambahnya.

“Ia memberikan... keyakinan kepada pengguna bahawa, lihat, ada pengawasan kawal selia bagi syarikat tersebut,” kata profesor kewangan, ekonomi, dan hartanah itu.

BAGAIMANA PELABURAN DENGAN SYARIKAT SEDEMIKIAN DILINDUNGI?

Bagi syarikat yang mempunyai lesen bagi perkhidmatan pasaran modal untuk pengurusan dana, MAS memerlukan dana pelanggan dipisahkan daripada wang syarikat.

Dana pelanggan mesti diletakkan di bawah jagaan bebas.

Syarikat juga dikehendaki untuk menyediakan rangka kerja pengurusan risiko dan memberikan pendedahan yang jelas serta telus mengenai syarat perkhidmatan mereka.

Dalam kes Chocolate Finance, wang pelanggan disimpan dalam "akaun berasingan, yang dilindungi" syarikat tersebut dan Allfunds, sebuah platform pengedaran dana.

Ketua Pegawai Eksekutif Allfunds Singapura, David Perez de Albeniz, berkata pada Rabu (12 Mac) bahawa “rangka kerja penjagaan yang kukuh” syarikat itu memastikan semua pelaburan kekal dilindungi dan boleh diakses Chocolate Finance.

Sebagai maklum balas kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Chocolate Finance dan Allfunds, MAS menyatakan bahawa wang pelanggan mesti kekal utuh dan tidak boleh digunakan untuk memenuhi tanggungan penasihat digital seperti Chocolate Finance, “pada setiap masa”.

APA YANG AKAN BERLAKU JIKA SYARIKAT SEDEMIKIAN GAGAL?

Sekiranya platform pelaburan berlesen gagal, Prof Sumit dari NUS percaya wang pelanggan akan dilindungi sedikit sebanyak, terutamanya jika syarikat itu cukup besar.

“Jika ia adalah isu kecil, mereka tidak akan dibantu, tetapi jika ia isu yang cukup besar, maka pemerintah akan membantunya,” katanya, merujuk kepada contoh-contoh masa lalu berkenaan bank dan syarikat kewangan yang terjejas semasa krisis kewangan.

“Terdapat beberapa tahap jaminan tersirat, walaupun tidak jelas... bahawa pemerintah akan menyelamatkan pengguna,” kata Prof Sumit.

Apabila MoneyOwl di Singapura memutuskan untuk menutup perniagaan nasihat kewangannya pada 2023, perniagaan pelaburan dan insuransnya dipindahkan kepada iFAST Financial, yang merupakan penjaga akaun pelaburan pelanggan MoneyOwl.

iFAST ketika itu menyatakan bahawa pelanggan MoneyOwl akan mempunyai akses digital kepada portfolio sedia ada mereka dan boleh membuat transaksi di portal iFAST.

Satu lagi platform tempatan sedemikian yang telah menutup operasi adalah Smartly, pada 2020. Menurut laporan media ketika itu, syarikat tersebut menyasarkan pengembalian wang kepada akaun bank pelanggan dalam tiga hingga enam hari bekerja.

The Business Times melaporkan ketika itu bahawa para pelanggan yang terpaksa membubarkan portfolio mereka mungkin mengalami kerugian, disebabkan oleh turun naik pasaran yang kian meningkat akibat pandemik COVID-19.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan