Skip to main content

Kewangan

Anthropic pertingkat model AI sedang saham sofwe merosot di pasaran

Anggaran Waktu Membaca:
Anthropic pertingkat model AI sedang saham sofwe merosot di pasaran
Logo Anthropic yang diambil pada 20 Mei 2024. (Gambar fail: REUTERS/Dado Ruvic)
Diterbitkan : 06 Feb 2026 09:53AM Dikemas Kini : 06 Feb 2026 10:06AM
SAN FRANCISCO: Syarikat pemula teknologi Anthropic pada Khamis (5 Feb) melancarkan model kecerdasan buatan (AI) yang dipertingkatkan, beberapa hari selepas kemajuan produknya mencetuskan penjualan saham sofwe tradisional.

Makmal yang berpangkalan di San Francisco, yang disokong oleh Amazon.com dan Google Alphabet, menyatakan model Claude Opus 4.6 merupakan naik taraf kepada model Opus 4.5 yang dikeluarkan pada bulan November.

AI baharu itu boleh melaksanakan tugas dengan lebih lama dan lebih andal, selain menunjukkan peningkatan dalam bidang pengekodan dan kewangan.

Anthropic juga menyentuh tentang bagaimana teknologi itu boleh memproses 1 juta data yang dikenali sebagai 'token', serupa dengan keupayaan yang sebelum ini didakwa oleh Google dan model Claude yang kurang berkuasa.

Ia juga memberi bayangan bagaimana AI tersebut, dalam alat atur cara komputer Claude Code, boleh membahagikan tugas antara pelbagai ejen autonomi dan menyelesaikan kerja dengan lebih pantas.

Dilihat sebagai pencabar dalam industri sofwe, Anthropic berhasrat untuk terus menerajui perkembangan teknologi sebelum syarikat itu disenaraikan dalam bursa, di tengah-tengah persaingan daripada Google dan OpenAI.

Pembangun sofwe mendakapi AI untuk pengekodan.

Sementara itu, Anthropic berusaha untuk memeterai perjanjian perniagaan dengan produk seperti Claude Cowork, yang melaksanakan tugas komputer untuk pekerja kolar putih.

Pelaksanaan pantas syarikat AI mencetuskan pergerakan pasaran yang meramalkan perniagaan sofwe lama akan menjadi semakin tidak relevan apabila AI mengalahkannya dalam bidangnya sendiri.

Saham Salesforce, Workday dan Thomson Reuters masing-masing diperdagangkan sekitar 3 peratus lebih rendah pada Khamis, melanjutkan penurunan sepanjang minggu lalu.

Namun begitu, tokoh-tokoh industri teknologi, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang, menolak kebimbangan sedemikian tentang gangguan, dengan alasan bahawa produk khusus, data yang luas dan penggunaan AI oleh syarikat sofwe lama akan menyediakan jalan penyelesaian.

Scott White, ketua produk untuk perusahaan bagi Anthropic, juga berkata matlamatnya adalah untuk menghubungkan AI dengan alat sofwe lama untuk menjadikannya lebih bermanfaat.

Claude Cowork, katanya, ibarat "gerbang untuk menyelesaikan tugas berat."
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita