Skip to main content

Kewangan

Amerika hampir capai perjanjian dagang dengan India: Trump

Presiden Donald Trump pada Isnin (10 Nov) berkata Amerika Syarikat semakin hampir mencapai satu perjanjian dengan India yang akan memperluaskan hubungan ekonomi dan keselamatan antara kedua-dua negara, di samping meningkatkan eksport tenaga Amerika Syarikat serta menggalakkan pelaburan dalam sektor-sektor utama negara tersebut.
Anggaran Waktu Membaca:
Amerika hampir capai perjanjian dagang dengan India: Trump
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri India Narendra Modi berjabat tangan ketika menghadiri sidang media bersama di Rumah Putih, Washington DC, Amerika Syarikat pada 13 Februari 2025. (Gambar fail: REUTERS/Kevin Lamarque)
WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Isnin (10 Nov) berkata Amerika Syarikat semakin hampir mencapai satu perjanjian dengan India yang akan memperluaskan hubungan ekonomi dan keselamatan antara kedua-dua negara, di samping meningkatkan eksport tenaga Amerika Syarikat serta menggalakkan pelaburan dalam sektor-sektor utama negara tersebut.

“Kami sedang berusaha untuk mencapai satu perjanjian yang adil, hanya satu perjanjian perdagangan yang adil,” kata Encik Trump kepada para wartawan di Rumah Putih semasa upacara angkat sumpah utusannya ke India, Sergio Gor.

“Kami sedang membuat perjanjian dengan India, satu perjanjian yang jauh berbeza daripada yang pernah dimeterai sebelum ini.”

Encik Trump sekali lagi menyuarakan keyakinannya bahawa perjanjian itu semakin hampir dimuktamadkan, sambil menambah: “Kami semakin hampir.”

Hubungan antara kedua-dua negara demokrasi terbesar di dunia itu menjadi tegang sejak beberapa bulan kebelakangan ini disebabkan oleh isu tarif, rundingan perdagangan serta perubahan dasar seperti yuran tahunan AS$100,000 (S$130,291.50) bagi visa pekerja mahir H-1B.

Encik Trump turut meningkatkan tekanan terhadap India, yang selama beberapa dekad dianggap oleh para penggubal dasar Amerika Syarikat daripada kedua-dua parti sebagai pengimbang pengaruh China.

Encik Trump juga mengenakan antara tarif tertinggi di dunia ke atas India, sebagai tindak balas kerana membeli minyak daripada Rusia, sesuatu yang menurut Washington membantu membiayai perang Mosko di Ukraine.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita