Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Alibaba pecat kakitangan tuduh rakan sekerja lakukan serangan seksual

Gergasi e-dagang China, Alibaba Group Holding, sudahpun memecat seorang pekerja wanita yang menuduh bekas rakan sekerjanya melakukan serangan seksual pada awal tahun ini, lapor akhbar Dahe Daily pada Sabtu (11 Dis). 

Anggaran Waktu Membaca:
Alibaba pecat kakitangan tuduh rakan sekerja lakukan serangan seksual
Diterbitkan : 12 Dec 2021 09:18PM Dikemas Kini : 12 Dec 2021 09:19PM

BEIJING: Gergasi e-dagang China, Alibaba Group Holding, sudahpun memecat seorang pekerja wanita yang menuduh bekas rakan sekerjanya melakukan serangan seksual pada awal tahun ini, lapor akhbar Dahe Daily pada Sabtu (11 Dis).

Dahe Daily mewawancara pekerja berkenaan yang mengatakan beliau menerima makluman tentang pemecatannya pada hujung November dan menerbitkan salinan yang menurutnya adalah surat pemecatannya.

Surat itu menyatakan pekerja berkenaan sudah menyebarkan maklumat palsu tentang beliau diserang dan mengenai bagaimana syarikat tersebut tidak menangani kes itu. Ia menambah ini "menyebabkan keprihatinan sosial yang mendalam dan membawa kesan buruk kepada syarikat".

"Saya tidak membuat apa-apa kesilapan dan tentu sekali tidak akan menerima keputusan ini dan pada masa hadapan, (saya) akan menggunakan undang-undang untuk melindungi hak serta kepentingan saya," akhbar itu menukil kata-kata pekerja wanita tersebut.

Alibaba tidak memberi respons apabila diminta untuk memberi ulasan di luar waktu kerja. Seorang peguam yang mewakili pekerja itu juga tidak segera memberikan respons apabila diminta untuk mengulas hal tersebut.

Alibaba, syarikat e-dagang terbesar di China, terkejut dengan dakwaan serangan seksual itu pada Ogos setelah pekerja wanita berkenaan menerbitkan keterangannya di intranet syarikat tersebut untuk menyatakan beliau diserang oleh rakan sekerjanya dan seorang pelanggan semasa satu lawatan perniagaan.

Alibaba memecat rakan sekerja yang dituduh melakukan serangan seksual itu tetapi juga memberhentikan 10 kakitangan lain kerana menggembar-gemburkan insiden tersebut.

Pendakwa raya China kemudian menggugurkan kes terhadap rakan sekerja pekerja wanita itu, menyatakan lelaki tersebut melakukan perbuatan tidak senonoh secara paksa dan bukannya jenayah. Namun, mereka meluluskan penangkapan pelanggan yang dimaksudkan itu pada awal September.

Di China, isu gangguan dan serangan seksual jarang sekali dibangkitkan di ruang awam sehingga gerakan #MeToo dilancarkan pada 2018 apabila seorang pelajar kolej Beijing menuduh secara terbuka bahawa profesornya melakukan gangguan seksual.  

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan