airasia xpress lancar khidmat penghantaran di S'pura

(Gambar: airasia)
SINGAPURA: Khidmat penghantaran airasia xpress yang dimulakan di Singapura hari ini (17 Feb) dijangka akan membantu perniagaan kecil dan usahawan sosial untuk menjimatkan kos dan mengembangkan perniagaan mereka.
Para pelanggan boleh menerima bungkusan dan dokumen yang dihantar menggunakan motosikal dan kereta dalam tempoh kurang daripada satu jam menerusi khidmat penghantaran pantas yang ditawarkan di Super App airasia.
Khidmat penghantaran pada hari yang sama - iaitu barang yang dihantar dalam masa empat hingga enam jam - akan ditawarkan tidak lama lagi.
“Memberikan perkhidmatan kepada mereka yang kurang mendapat kemudahan sentiasa menjadi misi teras airasia dan pengembangan ini mempamerkan komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan penghantaran terbaik kepada pengguna di rantau ini,” kata Ketua Penghantaran airasia Super App Lim Ben-Jie dalam kenyataannya hari ini.
Menurut beliau, perniagaan kecil dan usahawan sosial akan mendapat manfaat daripada khidmat penghantaran terpantas dan mampu milik itu, yang turut menawarkan perkhidmatan bernilai.
Selain Singapura, airasia xpress turut menawarkan khidmatnya di tujuh bandar di Malaysia - Lembah Klang, Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Ipoh dan Kota Kinabalu - selain Bangkok, Thailand.
“Penghantaran antara bandar, antara negeri dan antarabangsa di bandar-bandar utama lain di rantau ini akan disediakan tidak lama lagi,” dedah airasia, sambil menyatakan khidmat itu didorong oleh Teleport, usaha niaga logistik Capital A Bhd.
Sebagai pelancaran khidmat baru itu, para pengguna baru airasia xpress boleh membuat tempahan penghantaran pertama mereka dengan menerima diskaun 50 peratus (terhad kepada S$5).
Para pengguna boleh menekan ikon ‘Xpress’ di airasia Super App untuk membuat tempahan atau melayari https://www.airasia.com/aa/xpress/sg/ untuk maklumat lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.