Skip to main content

Kewangan

AirAsia Ride dilancarkan di SG jelang Jun 2023

Anggaran Waktu Membaca:
AirAsia Ride dilancarkan di SG jelang Jun 2023

(Gambar: AirAsia Super App/Facebook)

Diterbitkan : 12 Jan 2023 08:06PM

KUALA LUMPUR: Capital A Bhd merancang melancarkan perkhidmatan kereta sewa privet, AirAsia Ride, di Singapura pada Jun 2023.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tony Fernandes berkata ia dalam proses untuk mendapatkan lesen bagi perkhidmatan di Singapura dan kumpulan itu menjangkakan bakal memperolehnya pada suku pertama tahun ini.

“Kami akan tawarkan perkhidmatan ke lebih banyak bandar di Malaysia dan seterusnya di Singapura pada Jun, kemudian kita sasarkan Filipina dan seterusnya,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penghargaan Rakan Penghantar dan Pemandu AirAsia Super App di Kuala Lumpur pada Khamis (12 Jan). 

Ketika ini, syarikat tersebut beroperasi di pasaran Malaysia, Thailand dan Indonesia. 

Encik Fernandes berkata setakat ini, terdapat sekurang-kurangnya 400 pemandu sepenuh masa dengan AirAsia Ride. 

“Begitu juga bagi AirAsia Food, peningkatan jumlah rakan penghantar sepenuh masa, yang berjumlah kira-kira 100 orang pada masa ini, telah mencapai kadar menyelesaikan penghantaran (pesanan) yang lebih tinggi pada 85 peratus dan meningkatkan kepantasan penghantaran dengan ketara.

“Pada asasnya, program pekerjaan sepenuh masa untuk pemandu dan rakan penghantar kami bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan kecekapan tetapi juga mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan menyediakan kepada mereka keseimbangan kerja-kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Serantau AirAsia Ride, Lim Chiew Shan berkata kumpulan itu sedang mengkaji kombinasi pemandu sepenuh masa dan fleksibel bagi pasaran Singapura.

“Kami menyasar meraih keuntungan (bermula) tahun ini dan ada kemungkinan bahawa kami akan menjadi syarikat pandu-hailing pertama yang menjana keuntungan dalam tempoh dua tahun selepas dilancarkan,” katanya.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita