Skip to main content

Kewangan

AirAsia meterai perjanjian AS$12.25 bilion dengan Airbus untuk tambah 70 pesawat

Anggaran Waktu Membaca:
AirAsia meterai perjanjian AS$12.25 bilion dengan Airbus untuk tambah 70 pesawat

(Gambar:AFP/File/Mohd RASFAN)

Diterbitkan : 05 Jul 2025 09:20AM Dikemas Kini : 05 Jul 2025 09:23AM
KUALA LUMPUR: AirAsia menandatangani perjanjian untuk membeli pesawat jarak jauh Airbus 321XLR bernilai AS$12.25 bilion (S$15.6 bilion), dengan penyerahan pesawat-pesawat itu disahkan pada 2028, kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tony Fernandes.

Beliau berkata syarikat penerbangan tambang jimat itu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Airbus di Paris untuk pembelian 50 buah pesawat A321XLR dengan hak untuk 20 lagi A321XLR, kumpulan pesawat baharu yang disasarkan untuk beroperasi antara lain ke Asia Tengah, Timur Tengah dan Eropah.

“Ini dijangka menjadikan kami antara pengguna terbesar pesawat XLR, iaitu 321XLR dan merupakan fasa seterusnya dalam pertumbuhan transformasi kami ke arah mewujudkan rangkaian syarikat penerbangan tambang jimat pelbagai hab yang pertama di dunia.

“Ini akan membolehkan kami melakukan penerbangan ke Eropah dan kami berharap untuk melancarkan penerbangan pertama ke Eropah tahun ini,” katanya semasa taklimat media secara maya oleh Capital A bersempena majlis pemeteraian perjanjian itu pada Jumaat (5 Jul).

Perjanjian itu ditandatangani antara Encik Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif Airbus Commercial Aircraft Christian Scherer, disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.

Encik Fernandes berkata pesawat generasi baharu A321XLR akan beroperasi seiring dengan kumpulan pesawat Airbus AirAsia iaitu pesawat kumpulan A320 dan A330, menyasarkan untuk membawa 150 juta penumpang setahun menjelang 2030, mencapai jumlah keseluruhan sebanyak 1.5 bilion penumpang sejak penubuhannya.

Beliau berkata AirAsia merancang untuk membiayai tempahan pesawat tersebut melalui pajakan bank.

Encik Fernandes turut mengesahkan bahawa kumpulan itu akan mengumumkan satu lagi tempahan pesawat bulan depan tetapi enggan memberikan butiran lanjut.

Sementara itu, beliau berkata kumpulan itu sedang berusaha untuk menerbitkan bon pertama menjelang Oktober ini.

“Ini kali pertama dalam sejarah kami apabila kami dinilai oleh agensi penarafan kredit antarabangsa. Apabila kadar faedah mula menyederhana yang saya berharap akan berlaku tidak lama lagi, adalah wajar untuk kami kembali kepada model tradisional, iaitu mempunyai pesawat sendiri.

“Sebelum ini, kami beralih daripada pasaran pembiayaan kepada pajakan operasi berikutan kadar faedah yang tinggi dan ketersediaan modal yang kukuh dalam sektor pajakan. Pada masa ini, kami sedang menilai semula strategi itu,” katanya.

Mengenai cadangan pelan penyusunan dan penstrukturan semula Capital A, Encik Fernandes berkata syarikat itu dijangka akan menghantar semula surat keputusan kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thailand dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang.

“Selepas kami menjual perniagaan penerbangan, Capital A akan secara efektif keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17),” katanya.

Beliau berkata sebanyak enam daripada perniagaan bukan penerbangan kumpulan itu, iaitu Asia Digital Engineering (ADE), Teleport, AirAsia MOVE, OTA, BigPay, Santan dan AirAsia Brand Co (ABC) sedang mengkaji kemungkinan dwi penyenaraian di Hong Kong.

Capital A juga sedang mempertimbangkan dwi penyenaraian dan pengumpulan modal secara bebas.

Bagaimanapun, Encik Fernandes berkata “AirAsia Group tidak akan disenaraikan di Malaysia.”
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita