Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

AirAsia lancar khidmat penghantaran makanan di S'pura pada Mac

Hampir setahun setelah pemilik kedai makanan dan minuman (F&B) di sini berkempen untuk membayar komisen lebih rendah kepada wadah penghantaran makanan seperti GrabFood, sebuah pemain baru memasuki pasaran itu, menjanjikan komisen yang jauh lebih rendah.

Anggaran Waktu Membaca:
AirAsia lancar khidmat penghantaran makanan di S'pura pada Mac

(Gambar: AirAsia)

Diterbitkan : 18 Feb 2021 06:49PM Dikemas Kini : 18 Feb 2021 06:54PM

SINGAPURA: Hampir setahun setelah pemilik kedai makanan dan minuman (F&B) di sini berkempen untuk membayar komisen lebih rendah kepada wadah penghantaran makanan seperti GrabFood, sebuah pemain baru memasuki pasaran itu, menjanjikan komisen yang jauh lebih rendah.

Dalam satu kenyataan media pada Khamis (18 Feb), syarikat penerbangan tambang murah Malaysia AirAsia menyatakan usaha terbarunya, AirAsia Food, akan menebarkan sayap ke Singapura, dan ia akan mengenakan komisen sebanyak 15 peratus bagi setiap urus niaga.

Mediacorp difahamkan bahawa komisen yang dikenakan oleh ketiga-tiga platform penghantaran makanan utama di sini, GrabFood, Foodpanda dan Deliveroo, adalah dalam lingkungan 25 hingga 35 peratus.

Dalam satu usaha untuk menarik peniaga ke platformnya sebelum tarikh pelancaran pada minggu pertama Mac, AirAsia menyatakan penjual yang menyertai sebelum 1 Mac akan menerima kadar penyertaan khas dari serendah 8 peratus bagi bulan Mac.

Para peniaga boleh mula beroperasi dalam masa 48 jam dari tarikh pendaftaran, setelah perkhidmatan itu dilancarkan, tambahnya.

Pelanggan di sini boleh mula membuat pesanan bagi penghantaran makanan di platform AirAsia Food dari minggu pertama Mac, kata jurucakap syarikat itu sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

AirAsia Food, yang mula beroperasi di Lembah Klang, Kuala Lumpur Mei lalu, masih meluaskan perniagaannya ke lebih banyak bandar di Malaysia dan merupakan pemain kecil di Malaysia setakat ini.

Disember lalu, ketua eksekutif AirAsia Group Tony Fernandes memberitahu akhbar New Straits Times di Malaysia bahawa jumlah perniagaannya ialah sebanyak 1,000 penghantaran makanan sehari, sementara "pemain besar" pula sebanyak 55,000 penghantaran sehari.

Beliau kemudian menetapkan sasaran untuk menambah penghantaran harian kepada sehingga 10,000 menjelang hujung Mac.

Siaran media AirAsia pada Khamis dikeluarkan sehari setelah Encik Fernandes menulis di LinkedIn untuk mengumumkan bahawa AirAsia Food akan datang ke Singapura "secara agresif".

Dalam catatan itu, Encik Fernandes berkata: “Sebagai pemimpin gangguan, kami siap menghadapi cabaran baru di Singapura, memberikan nilai, kesederhanaan dan ciri inklusif untuk semua.

"Mereka yang sangsi dan mengkritik mengatakan bahawa kami tidak akan pernah berjaya dalam industri penerbangan - saya mengambil masa tujuh tahun untuk mendapatkan kelulusan untuk terbang ke Singapura tetapi lebih baik lambat daripada langsung tidak menjadi. Oleh itu, saya katakan bahawa khidmat penghantaran makanan kami dilancarkan lebih awal dari dijadualkan. "

Sementara itu, di ruang komen catatan itu, beliau bersetuju dengan satu kenyataan bahawa platform penghantaran makanan lain mengambil komisen terlalu tinggi, dan berkata: "Itulah sebabnya kami memasuki pasaran (dengan komisen) lebih rendah."

Catatan Encik Fernandes dikeluarkan hanya beberapa hari setelah laman berita Malaysia The Star melaporkan bahawa AirAsia Food akan meluaskan operasinya dari kawasan Lembah Klang ke bandar-bandar utama Malaysia yang lain, bermula dengan Johor dan Pulau Pinang pada Mac.

Dalam laporan yang diterbitkan pada 15 Februari, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dilaporkan berkata bahawa syarikat itu juga mahu memasuki pasaran Indonesia, Filipina dan Thailand.

Di Malaysia sendiri, bandar Ipoh, Kota Kinabalu, Kuching, Miri dan Kota Bharu adalah pasaran berpotensi berikutnya, tambahnya.

Buat masa ini, AirAsia Food menawarkan penghantaran percuma tanpa had dalam kawasan penghantaran sejauh 15 kilometer dan kadar komisen 10 peratus di Malaysia. Mediacorp telah mengajukan pertanyaan kepada AirAsia sama ada penghantaran percuma akan ditawarkan di Singapura juga, dan membuat pertanyaan lebih lanjut mengenai model komisennya.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan