Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Agensi pelancongan Melayu/Islam tumbuh 30-50% ekoran pembukaan umrah, banyak VTL

Sebilangan agensi pelancongan Melayu/Islam tempatan kini menyaksikan pertumbuhan perniagaan antara 30 hingga 50 peratus. Ini sejak perjalanan umrah dibuka semula dan lebih banyak Laluan Perjalanan bagi Penumpang Sudah Divaksin (VTL) diumumkan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebilangan agensi pelancongan Melayu/Islam tempatan kini menyaksikan pertumbuhan perniagaan antara 30 hingga 50 peratus. Ini sejak perjalanan umrah dibuka semula dan lebih banyak Laluan Perjalanan bagi Penumpang Sudah Divaksin (VTL) diumumkan.

Lantaran itu, sebilangan agensi kini mula mengorak langkah meluaskan operasi termasuk mahu menambah kakitangan.

Bagi agensi mapan seperti TM Fouzy Travel and Tours, setelah menutup pejabatnya di Golden Landmark sejak lima bulan lalu kerana tiada pelanggan, beberapa hari lalu ia membuka semula kedainya di pusat beli-belah itu.

Kesemua lima pekerjanya juga sudah kembali bekerja di pejabat setelah sekian lama bekerja dari rumah (WFH).

Pengarah TM Fouzy Travel & Tours, Tengku Madihah Fathiyyatul Fauziyyah Tengku Md Fouzy.

Pengarah TM Fouzy Travel & Tours, Tengku Madihah Fathiyyatul Fauziyyah Tengku Md Fouzy.

Ini kerana perniagaannya semakin rancak dan ia kini menawarkan 14 pakej umrah untuk hujung tahun ini, selain pakej ke Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Eropah.

Ditanya berapa banyak peningkatan perniagaan yang disaksikan syarikatnya sejauh ini, ini jawapan Pengarah TM Fouzy Travel & Tours, Tengku Madihah Fathiyyatul Fauziyyah Tengku Md Fouzy:

"Lebih 50 peratus. Alhamdulillah. Sebab respons sangat-sangat baik bukan untuk hujung tahun ini tetapi untuk tahun akan datang."

PERNIAGAAN HAMIDAH TRAVEL & TOURS NAIK 30%

Sentimen yang serupa turut disuarakan agensi pelancongan Hamidah Travel & Tours yang kini melihat perniagaannya pulih sekitar 30%.

Syarikat Hamidah Travel yang juga menjual tiket-tiket penerbangan, antara lain menerima semakin banyak panggilan mengenai penerbangan ke Malaysia saban hari.

Ini semua perkembangan positif yang membuatkan syarikat ini membuat percaturan baru juga bagi mengembangkan operasi syarikat.

Hamidah Travel yang pada Jun lalu terpaksa melepaskan lima kakitangannya dan kemudian menyerahkan pula pejabatnya kepada tuan tanah sekitar empat bulan lalu bagi mengurangkan kos operasi.

Pengarah Hamidah Travel & Tours, Badruzzaman Abdul Majid.

Pengarah Hamidah Travel & Tours, Badruzzaman Abdul Majid.

Kini ia berhasrat untuk mengembangkan semula tenaga kerjanya.

"Dengan kembalinya VTL ini dan juga Saudi membuka jalan untuk umrah, InsyaAllah kami akan kembali memanggil pekerja-pekerja kami dan sedang cuba mendapatkan pejabat yang baru," kata Pengarah Hamidah Travel & Tours, Badruzzaman Abdul Majid.

TRAVELCONNECT.SG MAHU AMBIL LEBIH RAMAI PEKERJA

Tinjauan BERITAMediacorp ke atas satu lagi syarikat pelancongan Melayu/Islam TravelConnect.sg juga mendapati bahawa dengan lebih banyak permintaan terutamanya bagi pakej umrah hujung tahun, ia sekarang ini dalam proses cuba menambah kakitangan. Ini selepas ia terpaksa melepaskan lapan pekerjanya semasa pandemik COVID-19.

Malah sebagai langkah sementara, TravelConnect.sg mengambil pekerja sambilan untuk menampung operasi yang kian bertambah.

Namun demikian, agensi-agensi pelancongan yang kami hubungi masih lagi mengambil sikap berhati-hati. Iaitu dengan hanya menawarkan pakej umrah dan wisata untuk kumpulan yang lebih kecil.

"Kita buat perancangan yang skala kecil dahulu. Kita tak hantar kumpulan seperti dulu. Kalau seperti dulu kita mungkin lebih dari 30, 40 orang satu rombongan. Tapi dalam skala kecil mungkin satu keluarga, enam orang hingga 12 orang contohnya", jelas Tengku Madihah.

Hamidah Travel pula tidak terburu-buru untuk menawarkan pelbagai pakej pelancongan dan memilih untuk mula menawarkan pakej ke Korea Selatan dahulu pada bulan Disember, iaitu antara destinasi yang lebih popular di kalangan pelanggan Melayu/Islam.

"Kami tidak akan tergesa-gesa untuk terus sibuk dengan urusan mengadakan pakej.

"Saya rasa sekarang adalah waktu untuk kita pelajari bagaimana perjalanan yang kita harus adakan waktu kita berlibur nanti. Itu sangat mustahak kerana seperti mana yang kita tahu, ia bukan seperti biasa," kata Encik Badruzzaman.

Bagi TravelConnect.sg, ia mahu memberi tumpuan dahulu kepada permintaan yang tinggi bagi pakej ibadah umrahnya.

Untuk bulan Disember sahaja, syarikat tersebut sudah mempunyai tujuh tarikh keberangkatan dengan setiap keberangkatan merangkumi sekitar 30 dengan 35 jemaah.

Malah ia juga melihat lebih banyak permintaan bagi pakej ibadah umrah untuk awal tahun depan.

Jelas, pengumuman tentang pembukaan umrah dan pelbagai Laluan Perjalanan bagi Penumpang Sudah Divaksin (VTL) antara Singapura dengan banyak negara termasuk Malaysia, seakan memberi nafas baru bagi agensi-agensi pelancongan Melayu/Islam tempatan.  

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan