Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Adakah anda akan masih beli-belah di luar negara jika tiada bayaran balik cukai bagi pelancong?

Anggaran Waktu Membaca:
Adakah anda akan masih beli-belah di luar negara jika tiada bayaran balik cukai bagi pelancong?

Gambar: AFP/Dominique Faget

Diterbitkan : 23 Jan 2023 07:52AM Dikemas Kini : 23 Jan 2023 04:56PM

SINGAPURA: Bayangkan anda berdiri di kaunter pembayaran dan sedang beratur untuk membeli beg mewah baru yang dipilih di butik di Bond Street - tempat popular untuk membeli barangan mewah di London.

Apabila anda memberikan kad kredit dan pasport kepada juruwang, beliau mengembalikannya dan memberitahu bahawa tidak ada lagi skim bayaran balik atau pemulangan Cukai Nilai Tambah (VAT) untuk pelancong di Britain.

Adakah anda akan tetap membeli barang tersebut tanpa dipulangkan 20 peratus VAT, dengan mengambil kira hakikat bahawa anda juga harus membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) apabila pulang ke negara anda? Atau adakah anda akan menukar fikiran dan tidak jadi untuk membelinya?


APAKAH SKIM BAYARAN BALIK UNTUK PELANCONG?

Skim bayaran balik untuk pelancong membenarkan pelancong untuk mendapat balik sejumlah wang daripada pembelian mereka jika memenuhi keperluan perbelanjaan minimum.

Di Singapura, skim tersebut membenarkan pelancong membuat tuntutan pemulangan GST yang dibayar jika mereka membeli barangan melebihi S$100 di kedai-kedai tertentu.

Destinasi pelancongan popular lain seperti Australia, Perancis, Jepun dan Korea Selatan juga membenarkan pelancong mendapat bayaran balik ke atas cukai yang dibayar bagi pembelian mereka.

Negara-negara yang mempunyai skim bayaran balik untuk pelancong berpendapat bahawa jika terdapat skim sebegitu, ia akan mendorong lebih ramai pelancong ke negara itu serta meningkatkan perbelanjaan pelancong, kata Profesor Sum Yee Loong dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

PELEPASAN CUKAI "INSENTIF YANG BAIK"

Pelepasan cukai untuk pelancong adalah insentif yang baik untuk meningkatkan pembelian dan menjana pendapatan pelancongan, kata Profesor Madya Lau Kong Cheen dari Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).

Menurut tinjauan 2021 oleh syarikat bayaran balik cukai Global Blue, 60 peratus pembeli Britain berkata mereka lebih cenderung untuk berbelanja di kedai jika mereka boleh mendapat bayaran balik VAT.

Menurut Persatuan Runcit Antarabangsa (AIR) negara tu, Britain kini merupakan satu-satunya negara Eropah yang tidak menawarkan beli-belah tanpa cukai kepada pelawat antarabangsa, lapor laman berita euronews.

Walaupun sesetengah negara seperti Britain dan Amerika Syarikat tidak mempunyai bayaran balik cukai untuk pelancong, terdapat beberapa faktor yang menarik minat pelancong untuk membeli-belah di luar negara - barangan baru, cenderahati bagi orang tersayang dan harga mampu milik.

“(Terdapat) barang tulen tertentu yang hanya terdapat di negara tertentu, seperti KitKats perisa tertentu yang hanya terdapat di Jepun dan bukan di seluruh dunia…dan cenderahati sering menjadi salah satu sebab paling popular untuk pelancong membuat pembelian - sama ada sebagai kenangan untuk diri mereka sendiri atau (sebagai) hadiah untuk orang tersayang di rumah,” kata Profesor Madya Lau.

Pada 17 Januari, Lembaga Pelancongan Singapura menyatakan bahawa pendapatan pelancongan negara dianggarkan mencecah S$13.8 bilion hingga S$14.3 bilion bagi 2022 - kira-kira 50 hingga 52 peratus daripada paras 2019.

Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan