82 flat HDB dijual pada harga sekitar S$1 juta pada 2020
Bilangan flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang dijual pada harga sekurang-kurangnya S$1 juta mencecah paras rekod yang bersejarah pada tahun lalu, meskipun dilanda pandemik COVID-19 dan kegawatan ekonomi.
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Bilangan flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang dijual pada harga sekurang-kurangnya S$1 juta mencecah paras rekod yang bersejarah pada tahun lalu, meskipun dilanda pandemik COVID-19 dan kegawatan ekonomi.
Ini berdasarkan unjuran awal yang dikeluarkan oleh portal hartanah SRX pada Khamis (7 Jan).
Sebanyak 82 flat yang bernilai S$1 juta setiap satu dijual pada 2020, mengatasi rekod sebanyak 71 flat bagi urus niaga sedemikian pada 2018.
Bulan lalu, 10 flat sedemikian bertukar tangan. Sebagai perbandingan, perangkaan antara 2012 dengan 2014 menunjukkan bahawa hanya tujuh flat dijual pada harga sekurang-kurangnya S$1 juta jika digabungkan ketiga-tiga tahun itu.
Jumlah itu mula meningkat sejak 2015 dengan 12 urus niaga sedemikian, diikuti pula dengan 20 pada 2016, 46 pada 2017 dan 64 pada 2019.
Berdasarkan data HDB, lima kawasan utama di mana flat-flat bernilai S$1 juta bertukar tangan adalah: Pinnacle@Duxton di bahagian tengah (22), Queenstown (16), Bishan (14), Bukit Merah (13) dan Toa Payoh (tujuh).
Penjualan paling mengagumkan adalah flat Pinnacle@Duxton yang dijual pada harga rekod S$1.258 juta pada September lalu. Lebih 70 peratus flat yang bernilai S$1 juta yang dijual pada 2020 dibina sepanjang 10 tahun lalu.
Dengan urus niaga melibatkan jutaan dolar dan harga penjualan rekod bagi sesetengah flat HDB di estet-estet matang, Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio Gan Thiam Poh bertanya sama ada Pemerintah mempunyai rancangan bagi menangani "permintaan yang meningkat".
Sebagai respons, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berkata bahawa rencana-rencana mengenai flat-flat HDB yang mendapat sorotan kerana dijual pada harga melebihi S$1 juta mungkin membuat segelintir individu bertanggapan bahawa terdapat "permintaan yang sangat, sangat tinggi" secara keseluruhannya dan harga melonjak dengan ketara.
Urus niaga sedemikian bagaimanapun hanya membentuk "bilangan kecil" dengan hanya 38 daripada lebih 14,400 urus niaga penjualan semula flat HDB (atau 0.26 peratus daripada urus niaga) antara Januari dengan Ogos 2020 menjangkaui paras S$1 juta, dedahnya.
Data terkini SRX menunjukkan bahawa penjualan flat bernilai S$1 juta membentuk 0.35 peratus daripada keseluruhan urus niaga flat jualan semula HDB pada tahun lalu.
Para penganalisis hartanah pula berkata penjualan memberangsangkan itu mungkin disebabkan oleh harga kondominium privet yang kekal kukuh semasa pandemik, sekali gus meningkatkan daya tarikan flat-flat HDB yang dapat lebih memenuhi bajet dan keperluan perumahan para pembeli.
LEBIH BANYAK FLAT JUTAAN DOLAR DI MASA HADAPAN?
Para penganalisis percaya bahawa tahun 2021 mungkin mencatatkan lebih banyak flat HDB yang dijual pada harga jutaan dolar, berdasarkan jumlah dan lokasi flat yang sudah mencapai Tempoh Penginapan Minimum (MOP) atau akan mencecah tempoh tersebut pada tahun ini.
Portal hartanah online PropertyGuru menyatakan bahawa lebih 50,000 flat HDB secara keseluruhannya sudah mencapai MOP pada tahun lalu dan juga tahun ini.
Berdasarkan jumlah yang dikumpulkan oleh PropNex Research, ia kelihatan seperti 25,530 unit HDB akan mencapai MOP pada tahun ini.
Ini termasuk 2,827 unit di Kallang-Whampoa, 962 unit di Clementi, 570 unit di Bukit Merah, 465 unit di Toa Payoh dan 408 unit di Bishan.
Ia merupakan sesetengah kawasan di mana flat-flat bernilai S$1 juta dijual sejak beberapa bulan lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.