Skip to main content

Kewangan

5 flat HDB dijual pada harga sekurang-kurangnya S$1 juta pada Ogos; harga flat jualan semula terus meningkat

Lima flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dijual pada harga sekurang-kurangnya S$1 juta pada Ogos, sedang harga bagi semua segmen perumahan terus meningkat meskipun ekonomi terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, menurut satu laporan yang dikeluarkan pada Khamis (3 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
5 flat HDB dijual pada harga sekurang-kurangnya S$1 juta pada Ogos; harga flat jualan semula terus meningkat

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 04 Sep 2020 09:52AM Dikemas Kini : 04 Sep 2020 10:05AM

SINGAPURA: Lima flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dijual pada harga sekurang-kurangnya S$1 juta pada Ogos, sedang harga bagi semua segmen perumahan terus meningkat meskipun ekonomi terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, menurut satu laporan yang dikeluarkan pada Khamis (3 Sep).

Para pakar hartanah berkata demikian sebagai respons terhadap laporan awal SRX yang memberitahu Mediacorp bahawa pasaran jualan semula HDB sedang menunjukkan tanda-tanda daya tahan yang kukuh dengan harga dijangka meningkat antara 1 hingga 2 peratus bagi sepanjang tahun 2020.

"Saya berpendapat ia akan membawa keceriaan kepada para pemilik HDB kerana perumahan awam berada dalam keadaan yang negatif sekian lama sepanjang enam hingga tujuh tahun lalu," menurut ketua pegawai eksekutif PropNex, Encik Ismail Gafoor.

"Kesimpulannya, orang ramai masih memerlukan tempat berteduh meskipun di tengah-tengah kemelesetan ekonomi. Sejujurnya, flat jualan semula lebih dimampui terutamanya jika mereka mahu mengambil kesempatan daripada geran yang ditawarkan," menurutnya, sambil merujuk kepada Geran Perumahan CPF yang Dipertingkatkan yang diumumkan tahun lalu bagi para pembeli rumah kali pertama.

Menurut laporan SRX, harga purata flat jualan semula HDB di seluruh Singapura naik 0.7 peratus pada Ogos setelah meningkat 0.4 peratus pada Julai. Harganya pula lebih 2.1 peratus lebih tinggi berbanding Ogos 2019.

Menurut laporan itu lagi, sebanyak 2,435 urus niaga flat jualan semula dikendalikan pada Ogos, turun 1.4 peratus berbanding Julai tetapi 23.5 peratus lebih tinggi berbanding Ogos tahun lalu di mana sebanyak 1,971 unit bertukar tangan.

RAMALAN BAGI FLAT JUALAN SEMULA HDB

Ketua kajian agensi hartanah Orange Tee, Cik Christine Sun berkata bahawa satu sebab di sebalik peningkatan pada jumlah urus niaga flat jualan semula pada Ogos berbanding setahun lalu mungkin disebabkan oleh permintaan yang beralih dari pasaran flat Bina Ikut Tempahan (BTO).

Beliau turut menarik perhatian bahawa pelancaran BTO pada Ogos menerima "terlalu banyak permohonan", sambil menambah bahawa trend itu dijangka berterusan dalam masa beberapa bulan akan datang.

"Para pemohon yang tidak berjaya mungkin beralih ke pasaran jualan semula untuk memenuhi keperluan perumahan masing-masing.

"Lagipun, banyak flat BTO yang dijual pada Ogos hanya akan siap dalam masa beberapa tahun lagi, dengan sesetengah flat dijangka siap antara 2025 dengan 2027. Bagi mereka yang tidak mahu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan flat baru, mereka mungkin memilih flat jualan semula HDB sebagai alternatif," katanya lagi.

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita