Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

3 firma dikenakan amaran susuli aduan kerja ubah elok belum selesai

Anggaran Waktu Membaca:
3 firma dikenakan amaran susuli aduan kerja ubah elok belum selesai

Syarikat Sense Construction Werkz dan K&L Interior mempunyai alamat pejabat berdaftar yang sama di 10 Admiralty Street, Bangunan North Link. (Gambar: Tangkapan skrin Google Maps)

Diterbitkan : 13 Apr 2022 05:20PM Dikemas Kini : 13 Apr 2022 11:24PM

SINGAPURA: Surat amaran sudah dikeluarkan terhadap tiga syarikat kerana dipercayai gagal  menyelesaikan projek-projek ubah elok rumah. 

Demikian menurut Persatuan Pengguna Singapura (CASE) pada Rabu (13 Apr). 

Aduan-aduan diterima daripada para pelanggan tiga kontraktor ubah elok - Sense Construction Werkz, Sense Visual dan K&L Interior. 

Sebahagian besar aduan yang diterima merujuk kepada kontraktor ubah elok yang gagal menyiapkan projek ubah elok rumah mengikut jadual yang ditetapkan, meskipun para pelanggan sudah membuat bayaran pendahuluan yang besar, menurut CASE. 

Persatuan itu menerima sebanyak 21 aduan yang dikemukakan terhadap tiga kontraktor tersebut dari 1 November 2021 sehingga 31 Mac tahun ini. Sembilan aduan yang diterima difailkan terhadap Sense Construction Werkz, tujuh terhadap Sense Visual manakala lima lagi terhadap K&L Interior. 

Menurut para pelanggan, mereka sudah membuat hampir pembayaran penuh atau sebahagian pembayaran untuk projek ubah elok rumah mereka, tetapi kerja-kerja itu berulang kali ditangguhkan atau dibiarkan tidak siap. 

"Menurut para pelanggan, kontraktor menyebut masalah kekurangan tenagah manusia dan kakitangan mereka yang dijangkiti COVID-19 sebagai alasan mengapa kerja berkenaan mengalami kelengahan," menurut CASE. 

Sesetengah pelanggan turut melaporkan bahawa syarikat-syarikat berkenaan menaikkan kos projek tanpa izin mereka dan membuat kesilapan dalam kerja-kerja pengubahsuaian, elektrik dan cat. 

Para pelanggan juga memberitahu CASE bahawa syarikat-syarikat tersebut tidak mengendahkan permintaan mereka untuk menyiapkan kerja ubah elok yang belum selesai dan memperbetulkan kerja-kerja yang tertunggak. 

"Syarikat-syarikat berkenaan juga meminta bayaran pendahuluan untuk menyambung kerja-kerja ubah elok, meskipun gagal menyelesaikan kerja-kerja yang tertunggak mengikut jadual," menurut CASE. 

"Menurut para pelanggan, nilai keseluruhan kontrak kerja ubah elok itu dianggarkan sekitar S$580,000." 

Rekod daripada Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA) menunjukkan bahawa Sense Construction Werkz dan K&L Interior mempunyai pengarah dan setiausaha yang sama, menurut CASE. 

Kedua-dua firma itu juga mempunyai alamat pejabat berdaftar yang sama iaitu di 10 Admiralty Street, #04-22, Bangunan North Link. 

"Menurut aduan yang diterima dan kontrak yang ditandatangani oleh para pelanggan, Sense Visual mempunyai maklumat nombor telefon individu dan/atau butiran kontak yang sama seperti Sense Construction Werks dan K&L Interior," menurut CASE. 

CASE menggesa ketiga-tiga syarikat itu supaya memenuhi kewajipan kontrak masing-masing. 

CASE sedang "memantau ketiga-tiga kontraktor kerja ubah elok itu dengan teliti" dan tidak akan teragak-agak untuk merujuk mereka kepada Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) untuk siasatan lanjut tentang kemungkinan berlaku amalan tidak adil di bawah Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil). 

"Para pelanggan yang mendapatkan khidmat kontraktor bagi kerja ubah elok dinasihatkan supaya memeriksa kewibawaan dan rekod prestasi syarikat tersebut, dan elak membuat bayaran pendahuluan yang besar," tambah CASE. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan