2 ibu muda ini korbankan peluang kerja, tubuh perniagaan online demi masa dengan anak
Meninggalkan kerjaya, bersengkang mata dan menggali peluang perniagaan demi meluangkan masa dengan anak yang tersayang. Yang jelas, tiada pengorbanan lebih besar berbanding pengorbanan seorang ibu.
BERITAMediacorp: Meninggalkan kerjaya, bersengkang mata dan menggali peluang perniagaan demi meluangkan masa dengan anak yang tersayang. Yang jelas, tiada pengorbanan lebih besar berbanding pengorbanan seorang ibu.
Meskipun berpendidikan tinggi dan memiliki kerjaya stabil, dua ibu muda ini sanggup mengorbankan peluang pekerjaan di luar dan menjadi suri rumah untuk menjaga sendiri anak sulung mereka.
Bagaimanapun, kedua-dua ibu ini enggan sekadar membiarkan masa berlalu dengan begitu sahaja. Mereka cekal 'terjun' ke dalam bidang perniagaan demi mencari pendapatan tambahan bagi menampung perbelanjaan keluarga sambil berpeluang menjalin hubungan lebih akrab bersama anak di rumah.
Sempena Hari Ibu ini, BERITAMediacorp bertemu dengan dua ibu muda dan mencungkil pemikiran serta motivasi mereka dalam mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu kali pertama dan usahawan dari rumah.
MUMMIES' MUNCHKINS: JURANG KAIN PELINDUNG MENYUSU, 'LEGGINGS' ANAK JADI PENDORONG
Bagi salah seorang ibu ini, Cik Nurkusmawati Kasim, pengalaman peribadinya dan keinginan untuk mendidik anak sendiri mendorong beliau untuk membuka usaha niaga dari rumah, Mummies' Muchkins.
"Saya teringat lagi anak saya tidak berhenti menangis dalam kereta api kerana ingin menyusu, tetapi saya hanya ada kain pelindung menyusu yang agak kecil. Saya juga mendapati terpaksa sentiasa mencari bilik menyusu ke mana sahaja saya pergi.
"Bahkan, pada awalnya juga, saya mahu mencari 'leggings' untuk anak lelaki saya, tetapi kebanyakan yang dijual di luar adalah untuk bayi perempuan. Jadi saya berhasrat mahu menjahit sendiri 'leggings' itu," kongsi Cik Wati.
Beliau kemudian mengambil inisiatif untuk menghadiri kelas menjahit sebulan selepas melahirkan anaknya, dan lantas mula menjahit dengan sebuah mesin jahit asas sahaja.
MULA DENGAN MODAL $50
Bermula secara kecil-kecilan di ruang pasaran online Carousell, Cik Wati berkongsi beliau bermula dengan bermodalkan $50 sahaja untuk membeli kain.
"Pada waktu itu, sekitar pertengahan tahun 2015, saya hanya menerima dua hingga tiga tempahan seminggu. Namun, pada hujung tahun itu, saya bercadang membawa perniagaan ini ke laman Instagram. Sejurus selepas itu, tempahan saya meningkat kepada 10 hingga 15 seminggu," jelasnya.
Kini, beliau bukan sahaja menerima sehingga 20 tempahan seminggu, tetapi juga terlibat dalam pesta pameran bayi dan turut menghantar beberapa helai kain pelindung menyusu kepada beberapa kedai.
Malah, Cik Wati turut menjahit sendiri kain pelindung menyusu yang berbidang luas itu, selimut, bantal 'husk' bagi bayi serta menyediakan pelbagai set hadiah bayi. Semuanya dilakukan selepas anaknya tidur sekitar 9.00 malam sehingga 4.00 pagi!
BERSAMA ANAK DI MANA SAHAJA, KOLABORASI DI BRUNEI
Yang pasti, pengorbanan ibu ini untuk bersengkang mata menjahit sehingga awal pagi berbaloi kerana beliau dapat melihat perkembangan anaknya sepanjang masa.
"Tidak kira di pasar lambak, di pondok pameran atau di mana sahaja, saya dapat meluangkan masa dengan anak saya. Setiap ibu juga ingin melihat perkembangan penting anaknya."
Bahkan, Cik Wati juga sedang dalam perbincangan untuk menerbangkan produknya dan menjualnya di Brunei melalui kolaborasi dengan seorang pelanggan di sana.
"Bermula sebagai seorang pelanggan di Instagram, kini kami sedang berbincang untuk menjualnya secara borong untuk ditempatkan di sebuah kedai di Brunei.
"Nasihat saya, jangan mudah putus asa, terus menimba ilmu dan terus cuba sedaya upaya. Pasti ada jalannya," ujarnya.
MASHAL ABAYA: BISNES BERMULA SELEPAS SETAHUN JADI SURI RUMAH
Bagi Cik Mardhiana Abdul Rahim pula, perniagaan menjual abaya bermula sejak beliau menetap di Ras al-Khaimah, Amiriah Arab Bersatu lagi. Masa perjalanan dari Dubai ke Ras al-Khaimah dengan menaiki kereta memakan masa sekitar sejam.
Diasaskan pada Ogos 2016, perniagaan tersebut juga bermula selepas setahun beliau menjadi suri rumah, setelah meninggalkan kerjayanya sebagai pramugari dengan syarikat penerbangan Emirates pada Ogos 2015 dan mula berhijab pada bulan yang sama.
Malah, beliau turut mengimbangi sendiri tanggungjawab menjaga anak sulungnya yang berusia dua tahun ketika itu dan sebagai seorang usahawan dari rumah, apabila suaminya terpaksa bekerja dan melakukan perjalanan di luar Ras al-Khaimah.
Cik Mardhiana, yang sebelum ini juga pernah bekerja sebagai seorang pramugari dengan Singapore Airlines (SIA) selama tiga tahun dan pegawai pentadbiran di sebuah syarikat guaman selama tiga tahun, akur bahawa menjadi suri rumah 'secara tiba-tiba' agak janggal bagi dirinya. Oleh demikian, beliau bercadang untuk memanfaatkan masanya itu dengan lebih baik.
"Selepas saya berhijrah, saya menerima permintaan abaya daripada keluarga dan rakan-rakan. Tanpa disangka-sangka, ia bertukar menjadi sebuah perniagaan."
"Pada awalnya, saya bermula hanya dengan 10 abaya yang digayakan, dengan gambar yang dipetik di rumah. Selepas membawa perniagaan ini ke Instagram, saya terima tambahan 100 pengikut hanya dalam masa sebulan!" kongsi Cik Mardhiana, pengasas Mashal Abaya, yang kini memiliki lebih 17,000 pengikut.
MILIKI TUJUAN, JALINKAN HUBUNGAN RAPAT DENGAN ANAK
Dengan terhasilnya Mashal Abaya, ibu kepada Mashal Wildan ini, juga berpeluang memperkasakan dirinya sebagai figura wanita di rumah.
Cik Mardhiana berkongsi dengan BERITAMediacorp: "Antara kepuasan yang saya kecapi adalah saya kini memiliki tujuan. Saya dapat menyumbang kepada keluarga dan pada masa yang sama, meluangkan masa dengan anak saya.
"Ia memberikan tanggungjawab dan kuasa kepada diri saya. Selain dapat bersama anak saya, saya juga mempunyai haluan kerjaya dan minat sendiri," jelasnya, yang memulakan perniagaan dengan modal 1,000 dirham (S$360).
Cik Mardhiana, yang masih mendapatkan bekalan abaya dari Dubai meskipun sudah pulang ke Singapura sejak Januari lalu turut berkata: "Saya dan anak saya kini menjalinkan ikatan yang istimewa, di mana dia enggan berjauhan dari saya, dan ia satu rahmat bagi saya dapat berada di rumah dengannya."
MASHAL ABAYA BRUNEI TURUT DIUSAHAKAN AWAL TAHUN INI
Meskipun melakukan perniagaan dari rumah, Mashal Abaya jelas berjaya berkembang sehingga dapat mewujudkan Mashal Abaya Brunei di media sosial.
"Sebelum ini, selain Singapura, kami menerima lebih banyak tempahan dari Brunei berbanding Malaysia. Oleh itu, adalah lebih baik untuk tubuhkan pasukan tempatan di sana bagi menjadikannya lebih mudah untuk berhubungan dengan pelanggan Brunei," jelasnya.
Cik Mardhiana turut merancang menawarkan juga pakaian sopan yang masih tidak menjejas kesantunan wanita di masa hadapan.
"Meskipun begitu, saya tetap merancang untuk menguruskan perniagaan dari rumah. Saya selesa dan gembira menjalankan perniagaan online, pada tahap kecil-kecilan begini. Kerana itulah tujuan, dan juga cogan kata saya - untuk berada di rumah dan meluangkan masa dengan anak saya," ujarnya lagi.
Yang pasti, ibu-ibu yang sanggup mengorbankan masa untuk menyumbang kepada keluarga sambil mendidik anak di rumah wajar dijadikan peran contoh. Ternyata, tiada yang lebih besar daripada pengorbanan seorang ibu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.