Skip to main content

Iklan

Iklan

Ketua WHO tolak kenyataan Pompeo; bertegas dakwaan "tidak benar dan tidak boleh diterima"

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis berkata kenyataan terbaru Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Michael Pompeo mengenai hubungan badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu dengan China adalah "tidak benar.

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua WHO tolak kenyataan Pompeo; bertegas dakwaan "tidak benar dan tidak boleh diterima"

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 24 Jul 2020 02:41PM Dikemas Kini : 24 Jul 2020 02:43PM

GENEVA: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis berkata kenyataan terbaru Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Michael Pompeo mengenai hubungan badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu dengan China adalah "tidak benar dan tidak boleh diterima, tanpa sebarang asas," lapor agensi berita Xinhua.

Bercakap semasa taklimat rutin, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata satu-satunya fokus WHO adalah untuk menyelamatkan nyawa dan organisasi itu "tidak akan terganggu dengan komen-komen ini, dan kami tidak mahu seluruh masyarakat antarabangsa turut terganggu".

Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber-sumber yang hadir dalam pertemuan peribadi antara Pompeo dan sekumpulan anggota kabinet United Kingdom (UK) di London pada Selasa, Pompeo mendakwa bahawa "perisikan firma" menunjukkan satu perjanjian telah diadakan bagi mendapatkan Tedros jawatan sebagai Ketua Pengarah WHO -- dan ia telah mengakibatkan kematian warga UK akibat COVID-19.

Encik Tedros mengulangi bahawa politik pandemik COVID-19 tetap merupakan ancaman terbesar kerana ia tidak mengenal sempadan, ideologi, atau parti politik.

"Saya telah menyatakannya berkali-kali. Politik COVID-19 perlu diasingkan. Dan saya memohon sekali lagi kepada semua negara untuk bekerja bersama. Politik dan parti mengakibatkan keadaan semakin buruk. Jadi, apa yang sangat penting adalah sains, penyelesaian dan perpaduan. Tetapi saya ulangi, dakwaan itu tidak benar, dan tanpa sebarang asas."

Pada taklimat yang sama, Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Mike Ryan, dengan tegas menyokong Encik Tedros dengan berkata bahawa beliau "berbangga berada di sisi Dr Tedros...organisasi kami dan kepimpinannya saling berkait."

"Kita semua berkhidmat untuk menyelamatkan nyawa," katanya. "Kami bersungguh-sungguh untuk matlamat itu. Kami bangga menjadi WHO, dan kami akan terus melakukannya. Dan kami akan berkhidmat untuk melayani orang-orang yang berhadapan kesukaran di dunia, tanpa mengira apa yang dikatakan mengenai kami."

Maria Van Kerkhove, warga Amerika dan pemimpin teknikal Program Kecemasan Kesihatan WHO, pada taklimat itu berkata: "Saya melihat secara langsung, setiap hari, tugas yang dilakukan oleh Dr Tedros (dan) yang dilakukan oleh Mike, dan yang dilaksanakan oleh pasukan kami di seluruh dunia. Kami sangat fokus untuk menyelamatkan nyawa, seperti yang dikatakan oleh Dr Tedros. Kami tidak akan terganggu. Dan itulah yang kami kekalkan. Dan kami akan terus fokus. "

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan