Skip to main content

Iklan

Iklan

Kes import naik bukan kerana lebih ramai pelawat masuk S'pura, tegas Lawrence Wong

Peningkatan pada jumlah kes import COVID-19 di Singapura sejak beberapa minggu kebelakangan ini bukan disebabkan oleh semakin ramai pelawat yang memasuki negara ini, menurut Menteri Pendidikan Lawrence Wong pada Isnin (25 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Kes import naik bukan kerana lebih ramai pelawat masuk S'pura, tegas Lawrence Wong

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 26 Jan 2021 09:11AM Dikemas Kini : 26 Jan 2021 09:15AM

SINGAPURA: Peningkatan pada jumlah kes import COVID-19 di Singapura sejak beberapa minggu kebelakangan ini bukan disebabkan oleh semakin ramai pelawat yang memasuki negara ini, menurut Menteri Pendidikan Lawrence Wong pada Isnin (25 Jan).

Sebaliknya, peningkatan itu disebabkan oleh kadar jangkitan lebih tinggi yang terus menular di luar negara, menurut Encik Wong dalam sidang dialog anjuran Institut Pengajian Dasar (IPS) yang berkisar tentang keadaan pasca pandemik.

Encik Wong, yang juga pengerusi bersama jawatankuasa bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19, berkata demikian semasa menjawab pertanyaan salah seorang peserta mengenai bagaimana negara ini merancang untuk mengekalkan perdagangan dan ekonominya sambil mengimbangi risiko kes import yang semakin meningkat di merata dunia.

Singapura pada Isnin melaporkan 44 kes baru COVID-19, dengan kesemuanya merupakan kes-kes import.

Pada Ahad, Singapura melaporkan 48 kes import, menyamai rekod negara bagi jumlah kes import harian tertinggi yang dicatatkan pada 23 Mac tahun lalu.

"Kami belum lagi menaikkan (jumlah) pelawat yang memasuki Singapura," menurut Encik Wong pada Isnin (25 Jan).

"Mengapa jumlah itu meningkat? Ini disebabkan oleh kadar jangkitan yang lebih tinggi sekarang. Virus itu sedang menular dengan dahsyat di negara-negara lain di merata dunia."

Encik Wong menegaskan bahawa sumber terbesar pelawat masih merupakan pekerja binaan dan pembantu rumah, dan jumlah pekerja tersebut yang memasuki Singapura belum dinaikkan "sejak kebelakangan ini".

Para pelawat diwajibkan menjalani ujian 72 jam sebelum mereka tiba di Singapura.

"Tetapi jenis ujian seperti ini tidak semestinya tepat," kata Encik Wong, sambil menambah bahawa sesetengah orang mungkin diuji negatif, sedangkan virus itu sudah mula mengeram di dalam tubuh.

Maka itu, para pelawat mesti menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama 14 hari atau sehingga 21 hari bagi sesetengah negara, untuk mengasingkan mereka daripada masyarakat.

"Itulah langkah berjaga-jaga yang telah kita ambil selama ini dan akan terus diambil... walaupun kita mempunyai aliran berterusan orang yang memasuki negara ini, yang diperlukan untuk ekonomi dan masyarakat Singapura untuk berfungsi," tambahnya.

"Kami melakukan apa saja yang diperlukan untuk mengambil langkah-langkah dan perlindungan yang sewajarnya, dan mengasingkan kes-kes ini daripada menular dalam masyarakat kita." 

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan