Kes harian COVID-19 di Malaysia menurun, 4,626 jangkitan baru dicatat
Jumlah kes harian COVID-19 di Malaysia terus menunjukkan penurunan dengan 4,626 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu berbanding 4,979 kes semalam (31 Okt).
KUALA LUMPUR: Jumlah kes harian COVID-19 di Malaysia terus menunjukkan penurunan dengan 4,626 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu berbanding 4,979 kes semalam (31 Okt).
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkembangan terkini itu menjadikan jumlah terkumpul kes kini 2,476,268.
Beliau berkata daripada jumlah kes bau hari ini (1 Okt), hanya 94 kes atau dua peratus melibatkan kategori tiga, empat dan lima manakala baki 4,532 kes atau 98 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua.
"Daripada jumlah kes baru itu, enam kes adalah kes import manakala 4,620 kes melibatkan penularan tempatan,” katanya dalam kenyataan mengenai keadaan COVID-19 hari ini.
Dr Noor Hisham berkata sebanyak 5,299 kes sembuh dilaporkan, mengatasi kes baru dan menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih COVID-19 kini sebanyak 2,380,060.
Menurut kenyataan itu, terdapat 569 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 301 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Beliau berkata sebanyak lima kelompok baru dikenal pasti melibatkan tiga kelompok tempat kerja, masing-masing satu kelompok kumpulan berisiko tinggi dan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan.
Ketua Pengarah itu memaklumkan kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara semalam pula adalah 0.95 dengan Kuala Lumpur mencatat kadar Rt tertinggi iaitu 1.02 manakala Labuan kekal satu-satunya kawasan mencatatkan kadar kebolehjangkitan sifar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.